Abang Johari berucap pada Majlis Perasmian Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) di sini. – Photo Ukas. 

MIRI: Impian rakyat Sarawak untuk menikmati lebuh raya bertaraf dunia menghampiri realiti setelah Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link (WPC11) dibuka secara rasmi kepada orang ramai, hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan seksyen tersebut menjadi bukti Kerajaan Sarawak sentiasa menunaikan janji kepada rakyatnya.

“Alhamdulillah, inilah impian kita di Sarawak untuk mempunyai jalan raya ‘world class’ (bertaraf dunia).

“Dengan ada jalan tok, sik belakang kita patah agik naik kereta seperti di sebut oleh Allahyarham Pehin Seri Adenan. (Dengan jalan ini, belakang badan kita tidak sakit lagi jika menaiki kereta apabila menggunakan jalan raya ini, seperti yang disebut Allahyarham Pehin Seri Adenan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh beliau bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Abang Johari menambah, pembukaan seksyen tersebut juga memberi manfaat kepada penduduk terutama memberi kemudahan kepada pengguna berulang alik dari Miri ke Limbang, Sibu dan Kuching.

“Insya-Allah, matlamat kita menjadi negeri maju berpendapatan tinggi dapat direalisasikan dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau mengutamakan Sarawak selain sering kali bertandang ke Bumi Kenyalang ini.

“Ketika menjadi menteri dahulu, beliau (Ismail) selalu ke sini malah telah pergi ke pedalaman Sarawak termasuk di Bekenu. Ini bermakna Perdana Menteri kita mengetahui apa yang dikehendaki rakyat Sarawak.

“Saya percaya kita berada di landasan betul dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur yang diusahakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dapat disiapkan demi kemudahan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Seksyen Pujut adalah seksyen yang dibina sepanjang 15.9 kilometer (km) di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11).

Skop pembinaan di bawah Seksyen Pujut juga merangkumi pembinaan dua jejambat iaitu jejambat Lapangan Terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua jambatan iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri.

Dua lagi seksyen di bawah pakej in ialah Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir yang masih dalam proses pembinaan. Anggaran kos keseluruhan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di bawah Seksyen Pujut ini adalah sebanyak RM470 juta.

Suara Sarawak