Uggah (tengah) mendengar taklimat berhubung status pembinaan Jambatan Kemena dari pihak JKR di Bintulu, pada Jumaat.

BINTULU: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) akan melaksanakan pelbagai langkah dan strategi bagi menghentikan semua projek sakit di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, MIPD dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bakal mengadakan seminar dan mengemukakan cadangan penyelesaian untuk mengurangkan atau menamatkannya semua projek sakit di negeri ini.

“Kita perlu tampil dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mekanisme terbaharu untuk memastikan sifar projek sakit pada tahun-tahun akan datang.

“Sistem SOP ini akan membolehkan kita bertindak segera dan tepat pada masanya bagi menangani projek-projek yang berpotensi bermasalah.

“Apabila kita boleh menyiapkan sesebuah projek seperti yang dijadualkan, ia akan memberikan imej baharu dan positif kepada kementerian dan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah mendengar taklimat di Pejabat JKR Bahagian Bintulu yang dikendalikan oleh  Pengurus Wilayah (Utara) JKR Bintulu, Teo Nguong Leong, pada Jumaat.

Uggah turut mengingatkan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai harapan yang sangat tinggi supaya semua projek dilaksanakan siap mengikut jadual.

“Sarawak mempunyai banyak projek yang perlu dilaksanakan untuk manfaat rakyat.Rakyat secara semula jadi akan kecewa dan marah apabila projek-projek yang dilaksanakan terbengkalai atau tidak siap,”ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggie, Setiausaha Tetap MIPD,  Chiew Chew Yaw, Residen Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman Luat dan Ketua Projek JKR, Meehan Jorai.

Suara Sarawak