BERCAKAP… Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini pada sidang media.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPM) menghantar surat bantahan kepada kedutaan Indonesia untuk mengekang peningkatan titik panas di negara itu yang dijangka memberi kesan kepada jerebu rentas sempadan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Khirudin Drahman@ Hussaini berkata, usaha itu susulan pengesahan daripada Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang menyatakan Indonesia dikesan mempunyai banyak titik panas.

“Minggu lalu, Sarawak didapati mempunyai sembilan titik panas dan hari ini dilaporkan kosong, namun di Indonesia masih ada.

“Kita buat surat bantahan kepada kedutaan Indonesia sebagai usaha mengekang berlakunya jerebu di negeri ini,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai keadaan jerebu di Sarawak di Yayasan Farley Batu 6, Kuching, hari ini.

Mengenai sembilan tompok panas di Sarawak yang dikenal pasti minggu lalu, Khirudin mendedahkan tujuh daripadanya adalah di kawasan Sri Aman manakala selebihnya dikesan di bahagian Utara Sarawak.

Tegasnya, antara usaha yang giat dijalankan adalah melaksanakan pendekatan advokasi serta menempatkan pegawai bomba yang lebih ramai di kawasan tompok panas (Sri Aman) dalam menghalang berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

Ujarnya, antara penyebab berlakunya tompok panas di Sarawak adalah aktiviti tanaman padi jerami dan kebakaran belukar.

Suara Sarawak