BETONG: Kerajaan Sarawak bersedia menjalin kerjasama dengan pihak pelabur dari luar negara seperti Korea dan Jepun untuk membangunkan ekonomi hidrogen di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru, beliau berkata akan berkunjung ke Korea pada hujung minggu ini untuk mempereratkan kerjasama dengan pihak pelabur di sana.

“Pada Oktober, saya juga akan memenuhi undangan ke Jepun untuk berkongsi pandangan mengenai hidrogen sebagai sumber bahan bakar baru ke arah transisi tenaga daripada bahan bakar karbon kepada bahan bakar tanpa karbon sebagai mendokong usaha dunia mengatasi perubahan iklim dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi selaku menteri bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022.

Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak melalui SEDC Energy juga akan menjalinkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Petronas untuk menghasilkan bahan bakar lestari daripada alga (atau lumut dalam bahasa tempatan).

“Industri penerbangan menghasilkan banyak gas rumah hijau yang menjadi antara punca utama pemanasan suhu dunia.

“Kapal terbang tidak boleh mengunakan hidrogen sebagai bahan bakar tetapi bio-fuel boleh menjadi bahan bakar alternatif yang amat sesuai untuk menguasakan
enjin kapal terbang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin Sarawak akan mempunyai hub petrokimia sendiri yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, khususnya para belia.

Katanya ia menerusi kerjasama dengan Petronas dan pihak-pihak lain, dengan Petronas amnya telah memberi komitmen untuk menyalurkan lebih banyak gas bagi tujuan membangunkan hab petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu dengan pembinaan loji penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Suara Sarawak