RUU… Peguam Besar Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

KUCHING: Belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertukar parti di negeri ini.

Demikian kata Peguam Besar Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid ketika diminta mengulas mengenai situasi Sarawak susulan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 28 Julai lalu.

Jelasnya, Jabatan Peguam Besar Sarawak masih melihat kepada langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan RUU terbabit.

“Saya telah melihat perkara terbabit dan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.

“Perkara ini terpulang kepada Kerajaan Negeri yang memutuskan adakah ia akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai menghadiri  Prosiding Rujukan (Reference Proceeding) untuk Hakim Mahkamah atasan dari Sarawak yang telah meninggal dunia di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

Sementara itu, pada 30 Julai lalu, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof berkata Peguam Besar Negeri Sarawak perlu mengkaji langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ADUN bertukar parti di negeri itu.

Fadillah mengatakan Sarawak seharusnya sudah mempunyai peruntukan undang-undang mengenai larangan melompat parti dalam Perlembagaan negeri terbabit.

Bagaimanapun, jelasnya peruntukan tersebut tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak