Datuk Seri Dr Sim Kui Hian merasmikan Pelancaran Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Sarawak 2022 di Hospital Umum Sarawak, hari ini. – Foto RAMIDI

 

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak penderma organ untuk menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti hidup pesakit yang mengalami kerosakan organ kronik atau peringkat akhir.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, hanya seramai 5,418 orang di Sarawak yang telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ setakat ini.

“Jumlah tersebut sangat rendah berbanding populasi penduduk di negeri ini yang seramai 2.4 juta orang. Sedangkan kita mempunyai banyak pesakit yang menunggu giliran untuk pemindahan atau transplantasi organ.

“Sebagai contoh, sekarang Sarawak mempunyai sekitar 300 orang pesakit sedang menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Jika kita mempunyai lebih 300 organ tersebut dan dilakukan pemindahan, sudah tentu semua pesakit tersebut tidak perlu lagi menjalani dialisis

“Tetapi sedih, kita tidak ada penderma. Itu belum lagi untuk pesakit-pesakit lain yang memerlukan pemindahan organ seperti jantung, paru-paru, hati dan lain-lain,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Sarawak 2022 dan Perasmian Pejabat Unit Perolehan Organ Hospital Umum Sarawak, di sini, hari ini.

Ujarnya, realiti tersebut memang berlaku di negara ini dengan menyaksikan banyak pesakit yang menunggu pemindahan organ meninggal dunia tanpa sempat mendapat organ baharu.

“Antara cabaran terbesar dalam pendermaan organ tidak kira peringkat negeri atau kebangsaan ialah penolakan keluarga selepas kematian, walaupun si mati adalah pengikrar atau seseorang yang menyatakan ingin menjadi penderma selepas kematian.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihati semua yang mendaftar untuk menjadi pengikrar, sila maklumkan kepada ahli keluarga anda, jelaskan dan yakinkan mereka bahawa inilah yang anda mahukan apabila meninggal dunia. Beritahu mereka ini adalah perbuatan mulia yang anda inginkan,” ujarnya.

Tema Minggu Kesedaran Pendermaan Organ pada tahun ini ialah Derma Organ: Cakna Demi Kehidupan. Ia menggalakkan pendermaan organ untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat serta dalam masa yang sama menyeru semua rakyat Malaysia untuk menjadi penderma.

Suara Sarawak