Ketua Jurulatih Sarawak United FC (SUFC), S Balachandran

KUCHING: Keputusan perlawanan ke-16 Liga Malaysia tidak memihak kepada Sarawak United FC (SU FC) selepas kalah tipis (1-0) terhadap tuan rumah, Terengganu FC dalam aksi di Stadium Sultan Zainal Abidin, semalam.

Aksi seimbang di antara kedua-dua pasukan sehingga babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan biarpun gawang SU FC beberapa kali menerima ancaman daripada pasukan tuan rumah.

Gerakan licah pemain sayap Terengganu, Faisal Halim dari bahagian kiri yang memasuki kotak penalti SU FC membuahkan hasil selepas lorongan bola ke tengah dilakukannya berjaya disudahi oleh Kpah Sherman pada minit ke-71.

Jaringan tunggal pada aksi tersebut sekali gus mengesahkan tiga mata penuh milik pasukan Gong Badak.

“Kita sudah bermain dengan bagus pada perlawanan itu sama ada pada babak pertama dan babak kedua, mereka bermain dengan cukup baik.

“Cuma satu kesilapan pada pertahanan kita sehingga pasukan lawan berjaya menjaringkan gol, semestinya jaringan itu sama ada gol sendiri atau jaringan hasil dilakukan pihak lawan akan memberikan sedikit kekecewaan kepada kita,” kata Ketua Jurulatih SU FC, S Balachandran ketika diminta mengulas mengenai perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengakui pasukan lawan itu mempunyai kualiti tersendiri dengan beberapa barisan pemain yang mempunyai gerakan permainan lincah serta berpengalaman.

Balanchandran turut mengakui taktikal perancangannya dalam memastikan transisi secara bertahan sedikit terganggu pada babak kedua perlawanan sedikit terganggu.

Mengulas mengenai pertukaran pemain yang dilakukan ketika perlawanan itu, Balanchandran memberitahu ia sebagai taktikal bagi memastikan pemain yang diberikan tanggungjawab mampu memberi intensi permainan secara bertali arus di samping mengelakkan kecederaan pemain-pemain utama menjelang perlawanan akan datang.

Suara Sarawak