KUCHING: Pasukan Sarikei FA berazam untuk menempatkan diri ke pentas akhir kempen Liga Bola Sepak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Bawah 20 Tahun 2022.

Jagoan terbilang dari zon tengah itu dalam proses pembentukan pasukan di bawah kendalian jurulatih berpengalaman luas, Awangku Shahbudin Pengiran Abu Bakar.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (PBBS) Abang Zaini Abang Ismail, pihaknya kini sedang melalui proses pembentukan pasukan dan komited memilih pemain muda berbakat dari kawasan berkenaan.

SEDIA BUAT KEJUTAN…Awangku Shahbudin (berdiri, tengah) barisan pemain Sarikei FA.

“Kita komited membentuk skuad Sarikei FA yang lebih mantap bagi menghadapi kejohanan itu kelak yang akan mengguna pakai kudrat jurulatih berpengalaman (Awangku Shahbudin Pengiran Abu Bakar).

“Malah kita juga mempunyai barisan pegawai yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak seperti Khairulddin Qalam Daud (Pengurus Pasukan) yang turut dibantu Fadillah Ali Seman dan Kaunselar Mohd. Hafizd Mohd. Rosley,” ujar Abang Zaini.

Jelas beliau juga, barisan kejurulatihan yang berada dalam skuad terbabit adalah Fadillah Bit, Awangku Matdaud Shah, Indrayanna Shahvanny dan Yazid  Yusop.

Beliau menambah, pasukan yang dibentuk untuk menghadapi kejohanan itu merupakan kesinambungan program pembangunan bola sepak yang dijalankan di sekitar Bahagian Sarikei.

“Ia melibatkan beberapa pusat pembangunan bola sepak yang terdapat di Bahagian Sarikei, sekolah-sekolah dan kelab amatur yang aktif,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, penganjuran Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 yang masih berlangsung ketika ini turut memudahkan proses pencarian pemain berbakat termasuk Liga Bola Sepak Peringkat Sekolah Menengah 2022 yang berlangsung di Bahagian Sarikei dan Bintulu baru-baru ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak