KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan untuk menempatkan produk lada tempatan di setiap hotel di Malaysia, bagi memperkembangkan pasaran lada ke peringkat global.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia sebagai langkah mempelbagaikan penempatan produk lada ke pasaran tempatan di samping usaha mempromosikan produk tersebut kepada orang ramai.

Seperti syarikat SaraSpice yang bekerjasama dengan pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB),  Zuraida berkata syarikat ini perlu mengambil langkah seterusnya untuk bekerjasama dengan agensi perhotelan di Malaysia.

“Jika kita berkunjung ke hotel, setiap meja akan disediakan dengan lada dan juga garam. Oleh itu, langkah ini akan memastikan produk tempatan ini dapat dihidangkan.

“Ini sekali gus membantu memasarkan produk SaraSpice berkembang di pasaran antarabangsa ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan majlis perasmian semula Syarikat SaraSpice di Icom Square, hari ini.

Dedahnya, dalam tempoh enam bulan pengoperasian SaraSpice, syarikat ini telah mencatat RM30 juta tempahan bagi tahun 2022.

Dengan pendekatan (lada ke pasaran hotel tempatan) itu, beliau percaya jumlah tempahan mampu meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Sebagai persediaan, MPB akan bekerjasama dengan perusahaan kecil tanaman lada dalam usaha membangunkan sebuah model ‘estet mini’ untuk meningkatkan penanaman lada secara kecil-kecilan.

“MPB akan ada libat urus dan kerjasama dengan perusahaan kecil bagi mendapatkan pandangan dalam membangunkan estet mini yang mana sekarang secara keseluruhan tanaman lada negara mencecah 7,700 hektar tanah secara keseluruhan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Zuraida mendedahkan pasaran lada Malaysia sudah mula mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan peniaga kecil negara-negara luar.

Beliau menambah, negara kini mencatat kira-kira 70 peratus lada hitam manakala 30 peratus lada putih.

RASMI…Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) merasmikan pelancaran semula ibu pejabat syarikat SaraSpice.

Suara Sarawak