Datuk Willie Mongin

KUCHING: Dahulu ya saya lawan Barisan Nasional (BN) tetapi saya tidak pernah lawan Gabungan Parti Sarawak (GPS), itu kata-kata Datuk Willie Mongin bagi mengulas mengenai penerimaannya di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau menegaskan perkara itu mesti difahami, kerana walaupun dahulu PBB merupakan parti komponen dalam BN namun pada asasnya, GPS adalah baru.

“Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PBB dan saya berharap kami dapat bekerjasama untuk memajukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual semasa menghadiri majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Puncak Borneo itu menjelaskan keputusannya menyertai PBB adalah bagi memenuhi kehendak penyokongnya.

Katanya sebelum membuat keputusan, beliau telah berunding dengan mereka dan ia dicapai secara kolektif.

Manakala ditanya adakah beliau sudah memberitahu pihak Bersatu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata sudah bercakap dengan mereka dan ia tidak sepatutnya menjadi isu.

Mengenai pencalonannya untuk mempertahankan Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, beliau berkata menyerahkan keputusan itu kepada Premier Sarawak selaku Presiden PBB dan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita hanya perlu bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan kemudian jika rakyat percaya kita boleh teruskan, itu terpulang kepada parti dan kebijaksanaan Premier serta kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, Willie berkata amat bersyukur dan berterima kasih kepada Abang Johari serta kepimpinan PBB dan GPS kerana menerima keahliannya.

“Yakinlah saya akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan mereka dan juga untuk membina parti, serta menyebarkan mesej tentang perjuangan parti dan pada masa sama memastikan kita mendapat lebih ramai keahlian,” katanya.

Semalam, Abang Johari mengesahkan bahawa PBB menerima Willie sebagai ahli tanpa sebarang komitmen.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi.

Beliau menewaskan calon PBB (BN) Genot Sinel yang meraih 14,860 undi serta calon Aspirasi, Buln Ribos yang mendapat 795 undi.

Kemenangannya itu juga memberi sejarah hitam kepada PBB apabila menyebabkan parti yang tidak pernah tewas di setiap kerusi yang ditandinginya dalam mana-mana pilihan raya akhirnya kehilangan satu kerusi, lebih-lebih lagi apabila ia merupakan salah satu kubu kuat parti itu.

Willie kemudiannya meninggalkan PKR pada Mac 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan Langkah Sheraton.

Beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Suara Sarawak