SAH… Asfia menunjukkan surat perletakan jawatan See Chee How kepada pemberita.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini, sambil memberitahu menerima surat peletakan jawatan Chee How itu pada 12 Ogos lalu.

“Dengan itu, beliau kini menjadi ADUN bebas,” katanya pada sidang media di kompleks DUN di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata kedudukan keahlian parti di DUN Sarawak adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 76 kerusi, PSB tiga kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dua kerusi manakala Bebas satu kerusi.

Mengulas lanjut, Asfia berkata Chee How bagaimanapun tidak memberitahu faktor peletakan jawatannya sebagai ahli PSB.

Namun secara peribadi, katanya Chee How merupakan seorang yang cekap dan cemerlang malah bijak membentangkan pandangannya semasa mesyuarat DUN Sarawak.

“Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Perundingan untuk menasihati Dewan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya mendoakan semoga beliau berjaya dan saya yakin beliau dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN, menyumbang kepada kawasannya dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Asfia turut membacakan surat peletakan Chee How bertarikh 12 Ogos 2022 seperti berikut:

“Dimaklumkan bahawa saya telah meletakkan jawatan saya daripada PSB berkuat kuasa serta-merta.

“Salinan surat tarikh genap saya kepada Yang Berhormat Dato Sri Wong Soon Koh, Presiden PSB dilampirkan di sini untuk rujukan Tan Sri Datuk Amar Speaker.

“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat di N.1 1 Batu Lintang, Sarawak dan semua rakyat Sarawak sebagai Ahli Bebas, melaksanakan tugas saya sebaik mungkin, memikul taat setia kepada Sarawak dan kepada Persekutuan Malaysia dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mempercayakan sepenuhnya Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Speaker dan pejabat yang dihormati untuk melaksanakan pelarasan yang perlu, dan memohon maaf terlebih dahulu atas kesulitan yang mungkin timbul.”

See Chee How sebelum ini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyertai PSB pada Mei 2020.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12, beliau berjaya mengekalkan kemenangan kerusi DUN Batu Lintang dengan majoriti kurang berbanding PRN Ke-11.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How

Suara Sarawak