See Chee How pada sidang media, di Kuching, hari ini.

 

KUCHING: Adun Batu Lintang See Chee How bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menurutnya, ia susulan peletakan jawatannya sebagai ahli PSB berkuatkuasa serta-merta pada 12 Ogos lalu.

“Jika PSB memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang, pihak kami bersedia untuk menelitinya,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmatnya di sini, hari ini.

Chee How yang kini Adun Bebas berkata demikian menjawab kenyataan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh yang menggesa beliau mematuhi syarat perjanjiannya dengan PSB dan mengosongkan kerusi DUN Batu Lintang serta-merta selepas memutuskan untuk keluar parti.

Menurut Chee How, berdasarkan Perkara 17 (7) Perlembagaan Sarawak, seseorang wakil rakyat perlu memberi aku janji secara bertulis kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan bukannya kepada parti politik. Melainkan ia dilakukan secara sukarela.

“Saya tidak tahu sama ada kontrak yang kami tandatangani sebelum pilihan raya negeri diberikan kepada speaker DUN atau tidak.

“Selain itu, bagaimana mereka (PSB) boleh memberi surat watikah kepada seseorang dan kemudian meminta mereka menandatangani perjanjian itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai perkara memandangkan ia berkaitan undang-undang seprti dinasihatkan peguamnya.

Artikel 17 Perlembagaan Sarawak dalam perkara 17 (7) (Kehilangan Keahlian) yang dimasukkan melalui pindaan pada 1994. Menyatakan bahawa mana-mana orang yang secara sukarela memberi akur janji kepada Speaker DUN secara bertulis dan dia tidak akan meletakkan jawatan keahliannya daripada parti politik yang diwakilinya semasa dipilih menjadi ADUN. Jika individu itu meletakan jawatan daripada parti politik selepas dipilih menjadi ADUN, individu itu akan hilang kelayakan demi kepentingan integriti dan moral awam berkuat kuasa pada tarikh dia meletakkan jawatan daripada parti politik itu.

Pada Ahad, Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan Chee How meletakkan jawatan dalam parti dan ingin kekal sebagai Adun Batu Lintang sebagai ahli Bebas.

Adun tiga penggal itu memenangi kerusi Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Disember lalu dengan memperoleh 4,420 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Chee How yang sebelum ini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai PSB pada Mei lalu bersama-sama Adun Ba’Kelalan Baru Bian.

Dengan peletakan jawatan Chee How sebagai ahli PSB ,maka kedudukan keahlian parti-parti di DUN Sarawak adalah seperti berikut; GPS 76 kerusi, PSB tiga kerusi, DAP dua kerusi, dan Bebas satu kerusi.

Suara Sarawak