ADA dua versi kisah Hang Tuah, hulubalang agung dalam sejarah kepahlawanan Melayu Nusantara. Versi pertama, Tuah membunuh rakan akrabnya, Hang Jebat kerana menderhakai sultan.

Versi kedua, Tuah tidak membunuh Jebat, sebaliknya menyembunyikannya di sebuah pulau terpencil. Jebat menghabiskan sisa kehidupan di pulau tersebut.

Kita lebih biasa dengan versi pertama, yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada teks subjek Sejarah Melayu, malah difilemkan, serta menjadi sebahagian daripada cerita rakyat yang cukup popular.

Jebat sinonim dengan watak ‘hitam’, manakala Tuah diangkat sebagai hero sejati dan terbilang sepanjang zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, tahun 1400 hingga 1511.

Yang pasti, versi kedua agak asing bagi kita. Setelah bertarung sengit, Jebat mengalami kecederaan di bahagian perut, lalu Tuah memberhentikan perlawanan.

Tuah kemudiannya membawa Jebat ke sebuah pulau yang tidak diketahui kebanyakan penduduk. Kalau ada pun yang mengetahui, ia menjadi rahsia negeri. Di situlah Tuah merawat Jebat dan meninggalkannya setelah kesakitan reda.

Sejak itu, Jebat menyorok bersama-sama keluarganya hingga ke hujung nyawa.

Tuah juga sering kali melawat beliau. Walaupun kisah versi kedua itu dikatakan sebagai mitos, namun terdapat alasan yang boleh dipertimbangkan.

Ini kerana, mereka sangat rapat, setelah mengaku sebagai saudara sehidup semati, bersama-sama tiga lagi rakan yang lain, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir.

Tuah dan Jebat ibarat isu dengan kuku, malah bagaikan tangan kanan dengan tangan kiri.

Dicubit peha kanan, peha kiri turut terasa. Selain cekap bermain senjata, mereka juga amat berani, bijak dan pintar, terutama ketika menghadapi serangan musuh atau ketika menggempur seteru.

Tuah tidak akan terburu-buru untuk membunuh sahabat karib, walaupun beliau terperangkap antara ketaatan perintah sultan, dan kesetiaan kepada rakan.

Oleh itu, Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin menegaskan bahawa babak pertarungan antara Tuah dengan Jebat sehingga mengakibatkan kematian, sebenarnya tidak berlaku.

Katanya, filem Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai Laksamana Hang Tuah itu berasaskan kepada dua hikayat lama iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu atau Salalatus Salatin.

“Selepas selesai berunding, Tuah pulang ke rumah, manakala Jebat keluar dari istana dan mengamuk serta mencari dan membunuh pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.

“Selesai membunuh penyebar fitnah, Jebat ke rumah Tuah yang dikerumuni penduduk Melaka.

Tuah bagaimanapun mengarahkan penduduk bersurai kerana beliau boleh menguruskan sendiri Hang Jebat,” ujar Khalid.

Turut diceritakan, bawa Tuah telah mengarahkan Jebat lari ke Langkawi secara senyap tanpa pengetahuan Sultan Melaka dan pembesar lain.

Jebat dikatakan membuka penempatan yang dinamakan Ulu Melaka di Langkawi. Kisah Hang Tuah itu sendiri tidak akan lengkap, tanpa Jebat.

Walaupun dilabel sebagai orang kedua, namun watak Jebat, tetap diangkat hampir sedarjat Tuah.

Mereka ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan dan saling melengkapi.

Nama Jebat turut dijadikan tajuk filem klasik, lakonan hebat Allahyarham Nordin Ahmad.

Sama ada ia benar atau mitos, ia tetap sebahagian daripada sejarah, yang banyak memberi pengajaran dan teladan.

Sama seperti kebanyakan kisah pahlawan Melayu, Tuah, Jebat dan para sahabat juga terkenal dengan semangat tinggi dan jiwa kental, berjuang demi tanah air tercinta.

Begitu juga Mat Kilau, antara watak penting dalam sejarah kebangkitan Melayu memerangi penjajah di bumi Pahang.

Kehebatan beliau turut difilemkan, yang kini sudah pun mengutip RM96 juta setelah lebih sebulan ditayangkan di pawagam.

Malah ia bakal menembusi lebih 200 pawagam negara jiran, Indonesia pada 31 Ogos ini setelah ‘meletup’ di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Tidak terkecuali, pejuang dari Bumi Kenyalang, Rosli Dhoby dan Rentap turut diiktiraf, sebagai peniup semangat patriotisme dalam jiwa rakyat.

Adalah wajar semangat para pejuang ini dihidupkan melalui filem, drama mahupun teks sejarah, sebagai rujukan, panduan dan inspirasi pelbagai generasi, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam Bulan Kemerdekaan ini.

Seperti yang dimuatkan dalam kisah Hang Tuah, betapa sikap hasad dengki pemimpin senior, terhadap golongan muda berwibawa, hanya akan menghuru-harakan keadaan, malah boleh meruntuhkan bangsa, agama dan negara.

Realitinya, apa yang terkandung dalam cerita Tuah dan Jebat mahupun Mat Kilau, berlarutan hingga kini, sama ada dalam pejabat, masyarakat, organisasi mega mahupun dalam pemeritahan negara.

Ego, tamak, gila kuasa, mabuk jawatan begitu bermaharajalela, sanggup melakukan apa-apa sahaja demi misi dan visi peribadi atau para kroni.

Kawan jadi lawan, musuh jadi rakan, malah sanggup ‘membunuh’ bos, bukan sahaja dari belakang, tetapi juga dari hadapan.

Bersempena Bulan Merdeka ini, bermuhasabah diri adalah landasan terbaik untuk kita menilai diri, lebih-lebih lagi para pemimpin, bahawa, tanggungjawab mereka sebagai ‘pejuang moden’ tidak pernah terhenti.

Kita tidak perlu lagi menghunus keris untuk menentang musuh, tetapi melalui segala tindak-tanduk, tingkah laku, yang bertunjangkan kepercayaan, jati diri, maruah bangsa, serta berpegang erat kepada tuntutan agama.

Realitinya, merdeka bukan sekadar ungkapan yang hanya dilaung-laungkan sepanjang bulan Ogos. Ia harus bermula dengan pendidikan awal, sejak dari peringkat akar umbi hingga ke universiti.

Sebagai sumber pendidikan penting, subjek sejarah itu sendiri, perlu bergerak seiring dengan tuntutan zaman, tidak lagi tertakluk kepada hafalan fakta semata-mata, tetapi perlu mencabar minda, pemikiran, taakulan dan tanggapan yang lebih kreatif dan inovatif.

Suara Sarawak