KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan sekali lagi menjadi “king maker” dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa. Bahkan, GPS dijangka berfungsi sebagai pembawa kestabilan ketika perebutan kuasa dan perubahan kerjasama politik di Semenanjung berlaku sebaik sahaja PRU-15 diadakan.

Justeru, mana-mana gabungan yang berjaya memenangi PRU-15 perlu mengadakan kerjasama dengan GPS yang memerintah Sarawak, untuk mengukuhkan kuasa di peringkat persekutuan. Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, ia kerana GPS dijangka tidak berdepan masalah, malah sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15.

“Banyak kajian menjangkakan pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di 165 kerusi kerusi-kerusi di Semenanjung. “Dalam konteks ini, kita akan melihat GPS sekali lagi akan menjadi “king maker”,” katanya yang dihubungi, semalam.

Sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN-12) Sarawak pada 2021, GPS yang merupakan gabungan empat parti komponen Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersau Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sudah memainkan peranan besar memberikan sokongan kepada dua perdana menteri selepas tumbangnya Kerajaan PH pada Februari 2020.

Sebanyak 18 kerusi Parlimen dimiliki GPS yang membantu Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Langkah Sheraton. Selain itu, Kuok Tiung berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga tidak mustahil boleh menjadi “king maker” jika ia dapat turun bertanding sebagai satu entiti. GRS membabitkan lima parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

“Jika Umno tidak bertembung dengan GRS, mereka pun boleh memainkan peranan dalam bersama-sama membentuk kerajaan pusat,” katanya. Bagaimanapun, katanya isu semasa menjadi penentu yang akan mempengaruhi sokongan pengundi terhadap mana-mana gabungan atau parti.

Namun, katanya buat masa ini, isu-isu besar seperti tuntutan kumpulan Sulu, Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) termasuk projek tertangguh akibat Covid-19 telah dapat ditangani oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob. Dalam pada itu, Kuok Tiong meramalkan PRU15 akan diadakan dalam tahun ini, iaitu menjelang September atau Oktober. “Kebiasaannya Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen selepas pembentangan bajet,” katanya.

Suara Sarawak