Guru dan warga SK Bruan Mapal, Matu memperagakan busana tradisional sebagai cara tersendiri untuk memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah itu.

MUKAH: Walaupun jauh di pedalaman, semangat patriotik dalam kalangan guru dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal terserlah apabila menampilkan keunikan dengan memperagakan pakaian tradisi pelbagai suku kaum bagi menyerikan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan.

Guru Besar SK Bruan Mapal, Selehah Ali berkata, aktiviti itu melibatkan penyertaan kakitangan akademik dan murid sekolah berkenaan.

Lebih menarik apabila mereka sepakat untuk menyediakan busana itu sebelum memperagakannya di hadapan murid masing-masing dalam satu majlis istimewa sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Dewan SK Bruan Mapal, semalam.

“Kami memilih busana tradisional sebagai konsep utama dan menjadikannya sebagai simbolik perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita ingin menunjukkan pakaian tradisional juga berperanan penting sebagai lambang identiti tersendiri yang mesti dipertahankan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana sambutan, mereka juga mengadakan pelbagai acara lain sejak awal Ogos lalu, antaranya, pertandingan karaoke lagu patriotik bagi murid sekolah dan busana merdeka.

Selain itu katanya, jawatankuasa sambutan juga menganjurkan acara sukan rakyat untuk kakitangan dan murid dan pertandingan mewarna sempena Bulan Kemerdekaan.

“Semua acara ini mendapat sambutan amat menggalakkan. Saya gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh semua warga sekolah khususnya semua guru yang bertungkus –lumus menjayakannya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Latip’s Collection yang sudi menaja semua busana ini,” katanya.

Selehah berkata, sambutan itu merupakan sebahagian pendekatan tersendiri warga SK Bruan Mapal untuk menzahirkan rasa cinta pada negara selain menyedarkan generasi muda terhadap betapa pentingnya mempertahankan perpaduan dalam sebuah negara yang merdeka.

 

Suara Sarawak