SEMANGAT…. Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Morshidi Frederick (tengah) bersama atlet-atlet serta barisan jurulatih yang akan berangkat ke Kuala Lumpur

KUCHING: Tiga atlet muda berpotensi dari Sarawak telah dipanggil untuk mewakili pasukan Malaysia A menjelang temasya dunia Kejohanan Muaythai Remaja Dunia (IFMA) 2022, yang berlangsung, esok (9 Ogos).

Ketiga-tiga atlet itu terdiri daripada pasangan adik-beradik, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berusia 16 tahun, dan Mikail Ghazali Zulfikar, 13, masing-masing dari kelab Muaythai Rentap manakala Texas Jeremy Lo, 13, daripada Kelab SS Fighter.

Mereka bersama enam lagi atlet iaitu Raisya Umairah, Damia Husna, Raja Izati Nabila, Putra Abdullah, Raja Izaffudin Petra dan Mohd Insyad telah disenarai akan berentap dalam kategori ‘Muaysport’.

Ketua Jurulatih Muaythai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nadzri berharap ketiga-tiga anak buahnya memberikan aksi terbaik sekali gus percaya mereka mampu melangkah sehingga ke pentas akhir.

“Sasaran kita supaya salah seorang daripada mereka mampu beraksi sehingga ke final dan mampu meraih emas buat kem negara.

“Mengikut pencapaian dan rekod semasa, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar antara atlet yang dilihat berpotensi meraih pingat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Bendera Atlet Kejohan IFMA 2022 di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, hari ini.

Turut membanggakan tambahnya, enam atlet muda baharu dari Sarawak mewakili pasukan Malaysia B juga akan dihantar atas usaha bantuan daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS).

Mereka ialah Muhammad Nur Aiman Kamaruddin dari (MTK/ Kilas Muay Thai), Muhammad Syameil Saufie (Sting), Muhammad Hakim Abdullah (Sting) dan Nur Haina Aisyah Muhamad Haikal Jenil (Pheonix Meranek) yang akan turut menyertai kategori Muaythai.

Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Morshidi Frederick berkata, pihaknya sentiasa menyokong perkembangan sukan Muaythai dan berharap para atlet Sarawak mampu meraih pingat dalam temasya itu kelak.

“Harapan kita supaya atlet-atlet Sarawak khususnya yang diberi peluang mewakili negara dapat membawa balik pingat.

“Peluang ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada mereka namun kita percaya beberapa program pembangunan sukan yang telah dilaksanakan akan mempergiatkan lagi sukan Muaythai di Sarawak,” katanya dalam majlis sama.

Sementara itu, Azan percaya pentas temasya itu akan menjadi landasan terbaik buat anak-anak buahnya menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan berlangsung September depan.

 

Suara Sarawak