HANYA seramai 5,418 orang di Sarawak telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ setakat ini.

Jumlah tersebut sangat jauh daripada keseluruhan 2.4 juta populasi rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, sejak tahun 2015, hanya tujuh orang sudah menderma organ di negeri ini — jumlah yang sangat rendah berbanding bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ.

Sementara di Malaysia pula, setakat Jun lalu, seramai 515,530 rakyat telah berikrar sebagai penderma organ sejak 1997, namun, jumlah penderma sebenar (selepas kematian) hanyalah 774 orang.

Manakala, seramai 10,278 pesakit sedang menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian.

Ini jelas membuktikan bahawa negara kita memerlukan lebih banyak pendermaan organ daripada penderma yang meninggal dunia kerana jumlah sedia ada sangat rendah.

Proses pemindahan organ bermula dengan pengesanan terhadap pesakit berpotensi untuk menjadi penderma organ selepas meninggal dunia.

Pendermaan ini digalakkan kerana seorang penderma yang meninggal dunia boleh mendermakan pelbagai organ dan tisu untuk memberi manfaat kepada ramai pesakit.

Selain itu, tiada sebarang risiko membimbangkan kepada penderma yang meninggal dunia berbanding pendermaan organ individu yang masih hidup.

Pakar Klinikal Jabatan Anestesiologi Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) Dr Yap Mei Hoon berkata, cabaran terbesar kepada perkara itu adalah persepsi masyarakat mengenai pendermaan organ selepas meninggal dunia.

Sebagai contoh, individu itu sudah berikrar sebagai penderma organ, tetapi keluarga tidak membenarkan proses ini dilakukan apabila pihak hospital memohon kebenaran waris kerana beranggapan ia satu penyeksaan kepada jenazah.

Pada masa sama, mereka mahu mengebumikan jenazah dalam keadaan sempurna — lengkap semua organ.

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah.

Dengan mendaftarkan diri dalam Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan selepas meninggal dunia.

Ini akan mengubah kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka daripada maut.

Siapakah yang layak menjadi penderma?

Sesiapa pun, sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu.

Bagaimanapun mereka yang berusia kurang 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu.

Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas.

Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa pesakit.

Manakala proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematian telah disahkan oleh dua doktor dengan pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas dan tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Adakah terdapat bantahan dari sudut agama?

Tiada! kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia.

Justeru, mereka yang berhasrat untuk menderma organ selepas kematian boleh mengisi borang pendaftaran pengikar penderma organ yang boleh didapati di semua hospital kerajaan, jabatan kesihatan daerah-daerah, pusat-pusat kesihatan daerah atau memuat turun borang di laman web pusat sumber transplan nasional.

Suara Sarawak