KALAU kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis — Imam Al-Ghazali.

Pada Rabu, kami mengadakan sesi perkongsian Menghasilkan Karya Memenangi Anugerah Hari Kewartawanan Malaysia (HKM) bersama-sama jemputan yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Dr Chamil Wariya.

Ini merupakan bengkel ke-26 tahun ini, juga merupakan penutup keseluruhan program berskala besar yang dianjurkan untuk memantapkan kualiti wartawan kami.

Sebelum ini juga, kami membuat penampilan khas personaliti media negara Suhaimi Sulaiman dan pemenang Anugerah Kajai Shahren Yusri yang kini Pengurus Besar Centexs Commercial termasuk kalangan otai dalam dunia kewartawanan.

Banyak yang sudah kami tampilkan, jemput dan kongsi untuk memberi motivasi kepada wartawan dan bilik editorial.

Rasa-rasanya ceramah Datuk Dr Chamil yang terakhir untuk tahun ini dan tahun depan, saya percaya kami bakal tampil dengan bengkel dan ceramah berskala besar.

Dr Chamil dalam ceramah itu berkongsi mengenai anugerah peringkat kebangsaan HKM yang terbuka kepada semua wartawan di negara ini termasuk wartawan muda kami di pejabat di sini.

Kami juga dipaparkan dengan perkongsian pemenang infografik dan reka bentuk muka depan.

Ketika itu, saya melihat paparan demi paparan hasil karya artis reka bentuk yang telah menang sebelum ini.

Dalam hati saya berkata — hampir serupa, sikit lagi… sikit sahaja lagi untuk reka bentuk muka depan terbaik.

Saya percaya, apa-apa yang kami ada di pejabat boleh dibimbing dari segi kandungan dan mesej mengikut gaya pertandingan untuk menang peringkat kebangsaan.

Saya juga yakin mereka yang kami ada, menyimpan bakat besar yang digilap hari demi hari. Semuanya perlukan bimbingan sama seperti kami anjurkan bengkel demi bengkel, ceramah motivasi supaya wartawan dibimbing dengan cara yang betul. Saya juga percaya, wartawan dan kakitangan mahu belajar dan sentiasa mahu memperbaiki kelemahan.

Jangan anggap diri sudah pandai dan jangan pula anggap diri mereka jumud.

Dan, jangan juga anggap diri sentiasa betul walaupun terpaksa menegak benang yang basah.

Dunia media ini seronok, cukup seronok sehingga kadangkala kita lupa diri, bukan selalu kadangkala. Saya selalu berpesan kepada wartawan muda, mana ada kerjaya yang boleh memegang dunia dari atas katil.

Tetapi dalam dunia kami, ia berlaku. Wartawan boleh menulis berita keputusan STPM dari atas katil walaupun pengumuman dibuat di Kuala Lumpur.

Seronok atau tidak? Tetapi, kualiti mesti dikekalkan. Kualiti kerja dan hasil berita tidak perlu bau bantal, ia mesti ada umphs!

Sebab itu, kata Dr Chamil, sekiranya perkara ini boleh dilakukan, wartawan muda akan naik dalam hierarki kewartawanan.

Maksudnya, wartawan tidak akan kekal sebagai wartawan. Jika masih dalam dunia kewartawan, daripada wartawan mereka boleh naik jadi wartawan kanan.

Jika ada bakat, seterusnya menjadi subeditor dan editor. Dan, untuk duduk di kerusi editor mahupun sub, bukan mudah.

Di bahu kami terpikul beban yang berat. Pertamanya, kandungan berita perlu diyakini sahih, tetapi ia tidak mudah berlaku.

Keduanya, berita atau rencana perlu ada susunan.

Ketiga, semua editor harus ada jiwa dan roh pendua seperti kunci.

Ini memudahkan mereka meniup roh ke dalam berita yang mahu mereka sunting.

Sunting pun bukan sunting bersahaja, mesti ada gaya tarikan dan diisikan dengan sepenuh jiwa.

Namun lain orang lain caranya. Kami masing-masing ada tarikan bahasa masing-masing untuk mengolah balik berita yang hambar.

Satu lagi, editor harus punya pemahaman tentang gambar dan reka bentuk.

Maksudnya, mereka harus tahu gaya reka bentuk yang tidak menarik dan mesej di sebalik gambar.

Orang di luar mungkin tidak tahu bagaimana dunia editor itu berputar. Saya kongsikan sedikit, bagi yang bukan dari dunia kami mungkin ini sesuatu yang baharu untuk dikongsi.

Tugas editor bermula sebaik sahaja wartawan menghantar berita — seperti ikan mentah yang dibeli di pasar raya sebelum dibersih dan dimasak.

Begitulah berita yang wartawan e-mel dengan kami di pejabat. Bukan hanya berita, ia harus disertakan dengan gambar.

Bayangkan surat khabar kami ada 46 halaman. Manakala seorang wartawan menghantar tiga berita sehari berdasarkan KPI yang ditetapkan.

Ertinya, editor perlu menyunting 138 berita. Katakan, berita utama ada 19 halaman, ertinya kami menyunting sehari dalam 57 berita atau selalunya 45 berita. Bayangkan, kami membersihkan berita 45 jenis setiap hari, belum soal memilih berita muka depan berserta gambarnya.

Di sinilah kekangan editor, termasuk saya sendiri. Ia memerlukan kearifan, kekreatifan dan sentuhan makna yang tajam.

Jika boleh, tiupkan makna di sebalik gambar, momen dan kejadian.

Bukan senang, saya akui ia agak susah kerana kadangkala kekeringan gambar dan berita.

Di sini, keputusan tepat diperlukan, timbang tara dituntut supaya ia tidak memberi masalah kepada organisasi.

Tetapi saya percaya kepada kemahiran dan bakat yang dianugerahkan kepada setiap manusia. Gambar muka depan harus sesuai dengan berita, jika tidak, editor perlu memerah fikiran untuk menyediakan gambar yang ada mesej dan menarik — walau dalam apa-apa keadaan pun.

Sebab itu, kami perlu sediakan banyak pilihan satu, dua dan tiga. Jika satu tiada, dua diguna dan jika sudah tidak menemui penyelesaiannya pilih pilihan nombor tiga. Ingat, gambar muka depan bukan gambar tangkap muat.

Dalam apa-apa keadaan dan kerja, kita perlukan pilihan. Tiada pilihan keempat kerana itu sudah tangkap muat.
Beginilah beban ditanggung editor. Dan, editor juga harus tahu hukum fon yang digunakan untuk tajuk muka depan.

Perlu tahu rupa bentuk aksara dan saiznya berdasarkan tajuk dan kesesuaian warna. Begitu juga dengan kedudukan gambar, makna dan apa-apa yang cuba disampaikan oleh gambar itu.

Yakinlah, ia memerlukan kemahiran dan apabila editor ada pengetahuan nilai tambah mengenai fon, hukum tajuk dan cara gambar dipilih, pandai pilih tajuk — yakinlah anda sudah menjadi editor yang bagus!

Suara Sarawak