MIRI: Serpihan logam ditemui berdekatan sebuah rumah di Taman Goodwill, Sepupok Lama, 81 km dari Miri disyaki sebahagian daripada ekzos roket Long March 5B.

Bagaimanapun, menurut pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sholehah Ismail, pihaknya masih belum mengenal pasti objek tersebut.

Kakitangan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menimbang berat serpihan logam menyerupai pasu bunga setelah dikeluarkan dari tanah.

Sekitar jam 1 petang hari ini, sekumpulan kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan aeroangkasa tiba di Sepupok, Niah untuk menjalankan pemeriksaan terhadap objek tersebut.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu.

Objek yang berjaya dikeluarkan itu menyerupai pasu bunga dianggarkan seberat 27 kg, berketinggian 40 cm, berukuran 120 cm diameter atas dan 80 cm diameter bawah.

Ia kemudiannya di bawa keluar dari lokasi dan di bawa ke Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Serpihan logam itu dijumpai tertanam 20 kaki dari sebuah rumah milik wanita berumur 90 tahun apabila pemilik rumah itu dan anaknya mendengar bunyi detuman kuat kira-kira jam 1 pagi Ahad.

Mengesyaki serpihan tersebut tersebut milik roket Long March 5B yang terhempas, anak lelakinya, Ho Chaeng Seng, 53, telah membuat laporan polis pada jam 5.30 petang, hari yang sama.

Objek logam dikeluarkan dari tanah.

Serpihan roket itu memasuki atmosfera kira-kira jam 12.45 tengah malam dikesan di udara oleh rakyat Sarawak dan memuat naik gambar dan video berhubung kejadian di media sosial.

Semalam, sekumpulan kakitangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan radiasi.

Pemeriksaan bagaimanapun tidak mengesan sebarang radiasi pada objek terbabit.

Kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah mengeluarkan objek tersebut.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak