HAMPIR semua masjid, malah surau yang cukup besar, mengadakan program penataran ilmu agama. Ada yang menyusun jadual kuliah dengan penceramah yang bukan calang-calang.

Majlis sedemikian mendapat sambutan daripada kariah masjid, malah ada penduduk dari kawasan lain sanggup datang. Ini semakin meluas dan kuliah semakin mendapat sambutan.

Tahniah kepada mereka yang sedia menjadi pengikut setia kuliah. Tahniah juga kepada jawatankuasa masjid dan surau dan pastinya penghargaan dan terima kasih khusus kepada guru dan ulama yang sudi menyampaikan kuliah dan membantu memperkukuh penguasaan ilmu akhirat.

Dalam majlis ilmu di masjid, penyampaian daripada ustaz banyak mempengaruhi minat dan kemampuan khalayak untuk menambah ilmu atau memperkukuh kefahaman.

Dalam penyajian ilmu, soal jawab mesti ada, baik daripada mereka yang menyampaikan kuliah atau mereka yang mengikuti.

Dalam proses demikian sebarang keraguan dan kekeliruan boleh diatasi dan ilmu selamat sampai di pancaindera hadirin.

Bagaimanapun ada satu set soalan yang tersalah tempat dan boleh menimbulkan kecelaruan. Siapa suruh buat macam tu? Siapa suruh tunduk macam tu? Siapa suruh baca macam tu?

Banyak lagi soalan yang sejenis dengannya. Soalan-soalan ini boleh dikategorikan sebagai soalan sombong, angkuh dan riak, terutama jika soalan itu datang daripada guru agama atau ustaz.

Beliau hendak menunjukkan bahawa orang yang mengajar amal perbuatan yang ditanya itu tidak cekap dan tidak cukup ilmu, yakni mengaibkan orang.

Dan seolah-olah beliaulah yang lebih pandai. Semua khalayak diam atau paling berani tersenyum pahit dan dalam hati ada persoalan.

Ada yang seperti dihina dan bodoh. Mungkin dahulu ketika belajar di dalam kelas tidak sempat mengajar cara betul ketika berdiri, duduk dan sujud.

Tok imam pun tidak pernah tegur. Maklumlah kampung kecil dan Tok imam belum sempat belajar hingga Universiti Al-Azhar.

Makmum pun tidak ada belajar cara yang betul.

Adakah kalau tidak berdiri, duduk dan rukuk dan sujud dengan betul, maka tidak boleh sembahyang? Begitu?

Bukankah itu lagi besar dosanya daripada melakukan kesilapan yang dikira sebagai betul sebab belum belajar dan tidak ada orang dapat mengajar.

Isunya ialah, orang datang belajar kerana tidak tahu dan belum ada ilmu itu. Orang itu adalah anggota kariah yang kadangkala mengikuti amal perbuatan secara patuh tanpa sempat menyoal untuk memahami dengan mendalam falsafah, sanad dan latar belakang di sebalik amalan itu.

Malah ada yang semasa kecil dipesan, jangan banyak soalan, nanti mengganggu orang lain. Lagi pula kadangkala mereka bukan kenal sepenuhnya nama guru yang mengajar, mungkin hanya nama glamornya.

Dan boleh jadi juga apa yang sempat didengar dan difahami oleh orang yang kena soal siasat itu, sebenarnya tidak sepenuhnya seperti yang disampaikan oleh penyampai kuliah.

Ini kerana kurang latar belakang ilmu bantu untuk memudahkan pemahamannya.

Lagi pula apa faedahnya soalan itu? Kalau dijawab adakah ustaz akan mencerca orang menyampaikan ilmu yang dipertikaikan itu?

Dan bukan mustahil ustaz yang dahulunya mengajar perkara yang betul, tetapi kemampuan makmum untuk memahaminya terhad.

Apa salahnya maklumkan sahaja amal perbuatan yang betul dan terangkan dengan jelas alasan dan apa-apa rahsia yang perlu diperkatakan.

Bukankah akan lebih aman dunia dan lebih tenteram suasana mengajar dan belajar. Dengan kata lain yang berilmu harus belajar bagaimana kaedah mengajar atau menyampaikan ilmu. Ada yang fobia dengan soalansoalan kelas ini, lebih-lebih lagi dalam majlis ilmu agama di masjid, surau atau dewan awam. Ada yang resah dan tertekan.

Malah ada yang gerun dan malas untuk menghadiri sesi demikian. Insan-insan yang datang belajar itu ada yang baru belajar bab amal ibadah dan menambah pengetahuan tentang Islam.

Ia termasuk yang dilahirkan dalam keluarga Islam, tetapi tidak berkesempatan mempelajari ilmu tentang Islam di sekolah kerana ketiadaan guru bertauliah.

Atau mereka perlu menumpukan perhatian terhadap mata pelajaran untuk melayakkan mereka meneruskan pengajian. Mereka terangsang, dan selalu diumpankan dengan kenyataan “Islam itu mudah”.

Dan hati mereka memang tergerak untuk melakukan amal ibadah setelah mendengar kuliah ustaz kampung.

Ustaz bandar besar bukan selalu datang, kadangkala dalam setahun hanya sekali dua dan mengajar tanpa sukatan pelajaran.

Dia baca dari kitab yang bahasanya berbelit berpulas kemudian tidak pula menjelaskan apa makna sehingga menggeliat otak muda atau pelajar tua yang ingin menjadi seorang muslim yang baik dan beramal.

Di sebalik isu ini adalah laporan bahawa tidak sampai 20 peratus umat Islam di negara ini menunaikan solat secara konsisten dalam kehidupan harian.

Juga dilaporkan, amat ramai tidak pernah mendapat peluang belajar ilmu amal ibadah berkaitan solat.

Ini hakiki dan memerlukan tindakan segera dan efektif, bukan mahu tunjuk pandai sahaja. Dengan kerangka minda seperti dipaparkan di sini diharap perbetulkan pendekatan, kaedah dan penyampaian agar lebih mudah dihayati.

‘Drama’ ini diketengahkan adalah kerana ia banyak terjadi termasuk di kaca tv atau melalui pelbagai aplikasi telefon pintar. Banyak sekali panduan dan didikan bagaimana melaksanakan amal ibadah seharian terutama bab solat dan amalan kehidupan harian. Usaha ini akan lebih berhasil jika tidak ada soal siasat, yang tidak termasuk dalam modul pelajaran.

 

Suara Sarawak