CANGGIH… Dr Sim Kui Hian menunjukkan alat pengimbas sistem terkini sistem Angiografi dan Angioplasti dari Amerika Syarikat di TMC. Photo Ghazali Bujang.

KUCHING: Pesakit jantung di Sarawak kini boleh mendapatkan rawatan berkualiti tinggi menerusi penggunaan alat pengimbas terkini sistem Angiografi dan Angioplasti di Pusat Kardiologi, Pusat Perubatan Timberland (TMC).

Dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian hari ini, sistem pengimejan kardiovaskular digital tersebut akan memanfaatkan pesakit melalui penyediaan kualiti imej yang unggul dengan dos radiasi yang paling rendah.

Sementara itu, sistem tersebut juga dapat meningkatkan keupayaan pakar kardiologi TMC menilai dan merancang prosedur yang lebih canggih dengan ketepatan yang lebih baik.

Pengerusi TMC Chik Wai Chiew berkata, TMC komited menggunakan teknologi dan penyelesaian baharu bagi melengkapkan doktor dan kakitangannya memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit.

“Sejak penubuhan pada 1994, sepanjang dan selepas pandemik Covid-19, kami sentiasa menaik taraf dan melabur dalam peralatan, kemudahan dan keupayaan demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Alat Pengimbas Sistem Terkini Angiografi dan Angioplasti di Pusat Kecemerlangan Kardiologi, TMC semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Dr Sim Kui Hian.

Sementara itu, Pengarah Perubatan TMC, Dr Dennis Yu berkata, TMC tidak berbelah bahagi dalam komitmen mereka menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti dan kos efektif kepada pesakit.

Katanya, ia sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dipercayai untuk pesakit tempatan termasuk pesakit luar.

“Kita melihat penyakit jantung terus menjadi antara penyakit yang semakin membimbangkan di Sarawak dan Borneo.

“Justeru, pemasangan alat baharu ini akan meningkatkan perkhidmatan TMC kepada lebih ramai pesakit kardiologi dengan peningkatan keselamatan pesakit melalui penggunaan sinaran radiasi yang lebih rendah,” katanya.

Suara Sarawak