BERCAKAP… Roland bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Dwi Bahasa Sarawak (DLP) 2022 (Guru Tahun Tiga) di Hotel Grand Continental dekat sini, hari ini.

 

KUCHING: Sistem pendidikan di Sarawak tidak jumud, tegas Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Menurutnya, sistem pendidikan di negeri ini tidak kolot tetapi terus bergerak maju ke hadapan.

“Saya tidak fikir sistem pendidikan Sarawak jumud, kita sebenarnya bergerak ke hadapan. Ia dapat dilihat menerusi pelbagai program pendidikan yang dianjurkan dan usaha ini bukannya tidak membuahkan hasil.

“Selain itu, penyusunan program juga dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai kepakaran – mengetahui keperluan masa hadapan. Jadi, untuk Sarawak kita sebenarnya tidak jumud,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Dwi Bahasa Sarawak (DLP) 2022 (Guru Tahun Tiga) di Hotel Grand Continental dekat sini, hari ini.

Tegasnya, para guru serta pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) juga pasti tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini mengakui bahawa sistem pendidikan Malaysia telah jumud susulan daripada keenganan untuk melakukan perubahan sehingga menyebabkan negara lain mengatasi Malaysia dalam hal pendidikan.

Katanya, ketika desakan pemansuhan peperiksaan kebangsaan UPSR dan PT3, segelintir guru dan pihak berkepentingan lain telah menentang keras langkah itu dengan mengatakan bahawa sekolah tidak bersedia untuk pentaksiran bilik darjah (PBD) dan pentaskiran berasaskan sekolah (PBS).

Suara Sarawak