Fatimah (tengah) dan Jonathan (dua kanan) pada majlis perasmian Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SJK Chung Hua No.1, di sini, hari ini.

KUCHING: SJK Chung Hua No. 1 mencipta sejarah apabila menjadi sekolah jenis Cina pertama di Kuching mengadakan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua No.1 hingga 6 Kuching Datuk Jonathon Chai berkata, empat tahun lalu beliau telah membawa idea penubuhan kelas pendidikan khas di setiap SJK Chung Hua di semua daerah pendidikan di Kuching, Samarahan, dan Serian.

“Saya amat bersyukur dapat menyaksikan pelancaran rasmi PPKI ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong usaha kami dalam merealisasikan usaha ini lebih-lebih lagi kepada para penderma yang berdedikasi dalam menyahut cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perasmian PPKI yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah di sini, hari ini.

Tambahnya, sekolah itu memulakan kelas tersebut pada tahun lepas dengan pengambilan maksimum tujuh pelajar. Namun disebabkan permintaan yang tinggi daripada masyarakat, pihak sekolah memutuskan untuk menubuhkan satu lagi kelas pada tahun ini dengan kelulusan dan sokongan Jabatan Pendidikan Sarawak. .

“Buat masa ini kita ada dua kelas yang menyediakan Program Pendidikan Khas Bersepadu.

“Kita perlu menampung keperluan sesetengah ibu bapa. Justeru, kami berharap agar permohonan penambahan dua lagi kelas pendidikan khas di sini dipertimbangkan dan diluluskan supaya boleh menempatkan lebih ramai pelajar,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak