SARIKEI: Skuad Fire Rescue Department Malaysia (FRDM) Bomba Sarikei tampil juara selepas menewaskan Sarawak Energy 2-1 pada pertandingan futsal sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022, peringkat bahagian Sarikei, semalam.

Dua gol yang dijaringkan adalah hasil rembatan kencang penyerang berbisanya, Abdul Rahman Isa yang bijak memanfaatkan beberapa peluang keemasan berhampiran gawang lawan.

JUARA….Skuad FDRM Sarikei menerima piala kemenangan

Mengulas mengenai kemenangan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata ia merupakan satu pencapaian cemerlang Bomba Sarikei walaupun pasukan itu baru ditubuhkan.

Meskipun masih ‘hijau’ dalam kejohanan seumpama itu katanya, skuadnya tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain sebaliknya mereka kerap mengadakan sesi latihan untuk memantapkan mutu permainan.

Menurutnya, cabaran ke final bukan mudah apatah lagi terpaksa berhempas pulas mengekang kemaraan skuad Medic dalam aksi semi final.

“Kesemua pasukan yang bertanding dalam kejohanan kali ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Justeru, kita terpaksa mengatur strategi untuk memastikan hasrat untuk mara ke final menjadi kenyataan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua tunggak FRDM.

“Kemenangan ini tidak bermakna kita kekal selesa sebaliknya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki,” katanya.

Suara Sarawak