Antara pakaian, bag, topi yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan serta pewarna semula jadi.

KUCHING: Program ‘Back to Nature’ akan berkampung di Kuching selama sembilan hari bagi memupuk kesedaran orang ramai untuk mengurangkan penggunaan pewarna sintetik dalam industri tekstil.

Anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM), program tersebut berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Pusat Beli-Belah AEON Kuching, di sini dari 6 hingga 14 Ogos depan.

Tujuannya adalah memupuk penggunaan sumber semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan dalam penghasilan produk, fabrik dan corak rekaan sekali gus mengurangkan penggunaan pewarna sintetik selain mendidik masyarakat supaya bersahabat dengan alam.

Menurut Pengerusi PSJKM Borneo (Sabah dan Sarawak) Thien Tsui Yan, program tersebut juga merupakan inisiatif melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam menghasilkan produk mesra alam.

“Pewarna semula jadi ini adalah warna yang diekstrak dan diperoleh daripada tumbuhan-tumbuhan atau haiwan. Ia kemudian dihasilkan pada kain seperti kain kapas, bulu kambing, jangan guna kain sintetik dan sebagainya.

“Inisiatif ini adalah bagi memulihara alam sekitar sekali gus mengurangkan pencemaran tekstil kerana kita tahu ia diproses menggunakan banyak bahan kimia.

“Banyak hasil fabrik yang boleh dihasilkan termasuk baju, bag, topi serta lain-lain mengikut kreaviti pembuatnya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, semua fabrik pameran adalah 100 peratus semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia yang dihasilkan menggunakan teknik cetakan eko serta cetakan natural.

Katanya, teknik tersebut juga menghasilkan warna dan corak pada fabrik yang memiliki keunikan dan keistimewan tersendiri.

Setiap hasil cetakan adalah satu-satunya di dunia dan tidak boleh diperoleh, dibeli mahupun ditempah ditempat lain.

Antara pakaian, bag, topi yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan serta pewarna semula jadi.

 

Thien Tsui Yan

Suara Sarawak