SIDANG MEDIA… Soon Koh (tengah) menjawab soalan daripada pemberita. Hadir sama, Dr Johnical (pertama kanan) dan Baru Bian (pertama kiri).  

KUCHING: Datuk Seri Wong Soon Koh mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat PSB bagi 2022 hingga 2024 yang diadakan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan terbabit memegang jawatan itu sejak PSB ditubuhkan secara rasmi pada 2014.

Sementara itu, Adun Engkelili, Dr Johnical Rayong menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 manakala Adun Ba’Kelalan, Baru Bian sebagai Setiausaha Agung.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3 di sini, Soon Koh berkata terdapat empat Naib Presiden Kanan parti iaitu Datuk Ranum Mina, Datuk Janet Lau, Ali Adap, dan Dr Rabaah Tudin.

“Tujuh jawatan Naib Presiden diisi oleh Datuk Lawrence Lai, Andrew Shilling Banggit, Elly Lawai Ngalai, Dato David Lau, Norina Umoi Utot, Yakup Khalid dan Kong Tze Ling.

“Dengan barisan Ahli Jawatankuasa Pusat yang baharu, PSB akan mengadakan mesyuarat berasingan selepas ini untuk merangka lebih banyak program dan aktiviti parti,” katanya.

Berhubung jawatan Timbalan Presiden II yang kosong, Soon Koh berkata calon bagi mengisi kekosongan tersebut belum dipilih setakat ini.

Ini kerana katanya, jawatan itu seharusnya diberikan kepada See Chee How, tetapi beliau telah meninggalkan parti pada dua minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada terdapat calon yang sesuai untuk jawatan itu, Soon Koh berkata “kita akan tunggu,”.

Suara Sarawak