Beberapa tangki berisi diesel yang dirampas hasil serbuan ke atas stor penyimpanan di Jalan Kampung Ulu Semera, Asajaya semalam.

KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan diesel di sini.

Kedua-dua suspek ditahan oleh Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, semasa menjalankan serbuan ke atas stor penyimpanan diesel itu di Jalan Kampung Ulu Semera, Asajaya kira-kira jam 2.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Sudirman Kram berkata pasukan serbuan turut merampas diesel itu, yang dianggarkan bernilai RM223,290.

“Pemeriksaan di dalam stor menjumpai beberapa buah tangki berisi minyak diesel yang merupakan barang kawalan.

“Pemeriksaan juga telah dibuat terhadap dua buah lori yang berada di stor tersebut dan menjumpai beberapa tangki berisi minyak diesel di dalamnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuching untuk tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak