Gambar hiasan

SEBUT sahaja kubur, ada yang seram sejuk, ada yang tidak senang duduk, dan ramai yang mengelak untuk bercakap tentangnya, terutama pada waktu malam atau ketika di tempat sunyi.

Kubur sinonim dengan suasana suram, kelam, sedih, menakutkan, namun pasti menginsafkan.

Bagi penggali kubur, ia adalah suasana biasa yang diharungi setiap hari.

Namun ada juga yang tidak terkecuali daripada seram sejuk di tengkuk, kerana pernah melalui pelbagai kisah.

“Pada hari pertama bekerja, memang agak gementar dan pasti ada rasa takut,” kata salah seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching yang saya temui, penghujung Oktober 2016, beberapa hari selepas pengebumian ibu saya.

Bagaimanapun katanya, dari minggu ke minggu, perasaan itu hilang begitu sahaja.

“Namun ia timbul semula jika ada sesuatu yang pelik dan menakutkan berlaku. Tetapi setelah berapa kali menghadapinya, saya mula yakin dan tidak lagi berasa gementar,” katanya.

Menceritakan pengalaman pertama, beliau menjelaskan; pada suatu petang yang agak gelap dan hujan renyai-renyai setelah selesai pengebumian.

“Sebaik semua ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan penduduk kampung meninggalkan tempat perkuburan, saya terdengar suara orang memberi salam… sambil saya terbayangkan sesuatu, saya pun menoleh, namun tidak kelihatan, suara seakan-akan dari liang lahad orang yang baru dikebumikan.

“Saya pun terus mengemaskan kawasan tersebut, dan membaca surah Al-Fatihah kepada arwah, disertakan doa.

Perasaan saya ketika itu, agak gementar, namun demi tugas saya beranikan diri, terus berdiri dekat kubur tersebut.

“Dua hari kemudian, salah seorang penduduk kampung memberitahu saya bahawa arwah ialah bekas imam dan sentiasa aktif mengurus hal ehwal masjid,” ujarnya.

“Itu pengalaman awal, yang kedua saya terserempak dengan orang yang menangis di atas kubur, dan lesap begitu sahaja selepas 10 saat. Kejadian tersebut agak menakutkan saya… dan saya demam dua hari selepas itu, mungkin sesuatu petunjuk kepada saya,” katanya.

Sementara itu, di zon tengah Sarawak, yang tanah perkuburannya berpasir, penggali kubur berusia 65 tahun yang saya temui turut mengalami pengalaman luar biasa.

“Selalunya saya mengambil masa sekitar 50 minit hingga satu jam untuk menggali satu liang, namun pada suatu hari hanya 20 minit, sudah siap.

Saya merasai bagaikan ada ‘kuasa ghaib’ dalam diri saya, cergas dan kuat. Malah liang yang saya gali mengeluarkan bau harum semerbak,” ujarnya.

“Saya amat hairan, lalu saya pun bertanya kepada ahli keluarga… siapakah gerangan arwah tersebut, rupa-rupanya arwah ialah guru agama, yang menjadi rujukan penduduk kampung, dan penduduk kampung berdekatan. Arwah amat disenangi orang ramai,” ujarnya.

Menurut Pak Cik tersebut, pelbagai kisah luar biasa sepanjang lebih 30 tahun menggali kubur, namun beliau menganggap ia hanyalah asam garam, cabaran dan rutin yang perlu dihadapi.

“Yang baiknya, sebagai penggali kubur, saya tidak lekang membaca surah Al-Fatihah, serta pelbagai zikir setiap kali memasuki pekarangan tanah perkuburan.

“Yang pasti, ia sentiasa mengingatkan saya tentang kematian setiap kali turun bekerja,” katanya lagi.

Sementara itu, ujarnya pernah berlaku, ketika memindahkan beberapa tapak kubur… sekujur tubuh yang masih elok, sama seperti ketika baru hendak dimandikan, walaupun sudah lebih 30 tahun dikebumikan.

Menurutnya, arwah merupakan guru mengaji yang sentiasa berdampingan dengan al-Quran, serta pemurah dan suka membantu orang.

Yang pasti, pelbagai kisah dialami penggali kubur, pekerjaan yang mulia di sisi agama, kerana membantu memudahkan urusan pengebumian.

Ia bukanlah cerita baharu, namun kisah turun temurun. Namun ia tidak begitu dihebohkan, terutama cerita kurang sedap didengar, demi maruah arwah dan ahli keluarga.

Misalnya, 1,400 tahun yang lalu, Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya melintasi sebuah kawasan perkuburan. Rasulullah SAW berhenti di salah sebuah kubur, dan menyuruh sahabatnya memetik secebis daun pohon kurma di kawasan tersebut, dan meletakkan di atas kubur.

Sahabat pun hairan, Rasulullah SAW pun memberitahu; “Saya mendengar jeritan dan pekikan dari liang kubur tersebut… oleh itu letakkan daun kurma di atas kuburnya, atau apa-apa tumbuh tumbuhan atau daun, kerana ia boleh berzikir untuk arwah sehingga ia kering”.

Selepas itu, tiada lagi kedengaran jeritan. Rasulullah SAW dianugerahkan dengan kelebihan, mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh manusia biasa (Diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW).

Oleh itu sehingga kini kita digalakkan untuk menanam bunga, rumput atau pokok kecil di atas kubur, untuk berzikir.

Elak mencabut rumput yang tumbuh di sekitarnya. Selain itu, boleh juga diletakkan batu sungai atau batu jeram kerana ia jenis batu yang hidup, dikatakan ada ‘bisikan’ dan mampu berzikir sepanjang masa.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidina, sebanyak 173,746 kematian dicatatkan pada 2019, berbanding sebanyak 172,031 kematian dicatatkan pada 2018.

Perubahan tersebut selari dengan peningkatan jumlah penduduk tua di Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas iaitu daripada 1.4 juta orang pada 2010 kepada 2.3 juta orang pada 2020. Kadar kematian kasar pula kekal pada 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Oleh itu, beberapa tempat di negara ini mengalami kekurangan tanah untuk pengebumian.

Di Tanah Perkuburan Samariang Kuching misalnya, hanya boleh menampung jenazah sekitar lima tahun akan datang (2027).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Wahap Abang Julai, sebahagian besar tanah perkuburan di Samariang sudah mencapai 70 peratus dan secara purata lapan jenazah dikebumikan setiap hari.

Salah sebuah kota di Brazil, misalnya, terpaksa disediakan bangunan besar beberapa tingkat, gara-gara tiada lagi tempat untuk menguburkan mayat. I

a menyerupai hotel sebagai kawasan pengebumian rakyat bukan Islam.

Setiap tingkat dipenuhi mayat. Bahagian tingkat atas biasanya milik golongan kenamaan atau orang berpengaruh.

Pengebumian di situ cukup mahal, malah ahli keluarga juga perlu membayar sejumlah kos untuk tiga bulan pertama, selepas pengebumian.

Yang pasti, tempat pengebumian di kebanyakan negara di dunia semakin mengecil.

Suara Sarawak