Nur Atiqah (tengah) bersama anak-anak Taska WisWani mengibar Jalur Gemilang

KUCHING: Cuaca hujan tidak mematahkan semangat kanak-kanak dari Taska SeDidik Wiswani untuk menyemarakkan ambang sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

Ketua Pendidik Taska Wiswani, Nur Atiqah Nurul berkata seramai 20 anak-anak asuhan taska berkenaan sambil diiringi enam orang guru menyertai perarakan kibar Jalur Gemilang mengelilingi bangunan di salam Wisma Wanita Petra Jaya.

“Para ibu bapa juga turut menyertai perarakan sebagai menyuntik semangat anak-anak untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepasa Suara Sarawak hari ini.

Menurut Nur Atiqah, pihak taska mengadakan persiapan untuk menyambut Hari Kebangsaan yang diraikan esok hari, 31 Ogos sejak minggu lalu.

“Setelah dua tahun tidak menyaksikan persembahan warna-warni serta gelagat anak-anak mengibarkan Jalur Gemilang disebabkan pandemik Covid-19, maka pada tahun ini kami ingin membawakan anak-anak merasai pengalaman perarakan sambil mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata beliau sambutan berkenaan diyakini akan memupuk dan menyemai semangat serta nilai patriotisme di dalam diri kanak-kanak seawal usia mereka di peringkat taska.

Antara pengisian sambutan pada tahun ini, Nur Atiqah memberitahu taska menganjurkan pertandingan mencipta buku skrap dan pertandingan mewarna sejak minggu lalu.

“Para pemenang diumumkan hari ini serta turut dirangkunkan sambutan Hari Jadi anak-anak sepanjang tahun ini,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa yang hadir sebagai tanda sokongan.

Pihak taska kata Nur Atiqah turut berharap sambutan Hari Kebangsaan hari ini berjaya menjentik semangat patriotik ke dalam diri anak-anak sekali gus menjadi kenangan terindah buat mereka.

“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepasa semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kami ini,” katanya lagi.

Nur Atiqah (tengah) bersama anak-anak Taska WisWani mengibar Jalur Gemilang

Suara Sarawak