KUCHING: Padah ugut bunuh ibu kandung, seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Joel Lanyieng, 26, bekerja sebagai penghantar barang mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bunuh ibu kandungnya yang berusia 63 tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Datuk Stephen Yong, sekitar jam 10 malam, 4 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada anak lelakinya yang meminta wang berjumlah RM600.

Tertuduh mengugut untuk membunuh ibunya sekiranya enggan memberi duit dengan mengeluarkan kata-kata ‘if you don’t give me, i will kill you’.

Hasil siasatan, mendapati tertuduh mengaku mengugut mangsa bagi mendapatkan wang untuk tujuan membeli dadah dan membayar untuk permainan judi dalam talian.

Selain itu, tertuduh juga meminta wang setiap hari sehingga menyebabkan pengadu berhutang dengan adik-beradik semata-mata untuk memenuhi permintaan anaknya itu.

Perkara terbabit turut disaksikan oleh anak perempuan pengadu.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah dikenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak