KUCHING: Tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang susulan tindakan Adunnya, See Chee How keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Demikian tegas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar yang memberitahu kerusi Dun berkenaan tidak kosong dan PRK juga tidak akan diadakan di kawasan tersebut.

 

BERCAKAP…Asfia menjawab soalan daripada pemberita.

Menurutnya, Chee How tidak perlu mengosongkan kerusi itu meskipun beliau telah keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Menurut Artikel 17 (7) (a) Perlembagaan Negeri Sarawak terpakai “jika seseorang secara sukarela memberi aku janji secara bertulis kepada Speaker, dia tidak akan meletak jawatan keahliannya dalam parti yang dia bertanding apabila dipilih sebagai DUN…”.  maka dia akan hilang kelayakan sebagai ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong.

“Bahasa mudah perkara 17 (7) (a) bermaksud supaya aku janji itu berkesan, ia (surat aku janji) mesti diberikan (kepada Speaker) sebelum orang yang dipilih meletakkan jawatan daripada parti di mana dia bertanding untuk pilihan raya,” katanya pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut Asfia berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang aku janji secara bertulis daripada Chee How sebelum ini.

“Pada 14 Ogos lalu, saya telah menerima surat daripada Chee How bertarikh 12 Ogos 2022 bahawa beliau telah meletak jawatan keahliannya dari PSB berkuat kuasa serta-merta.

“Dalam surat itu juga mengatakan bahawa beliau akan terus berkhidmat kepada DUN Batu Lintang, dan dilampirkan bersama surat bertarikh 12 Ogos 2022 yang ditujukan kepada presiden PSB (Wong Soon Koh),” ujarnya.

Bagaimanapun jelas Asfia, pada 15 Ogos 2022 iaitu tiga hari selepas Chee How meletak jawatan daripada PSB, beliau telah menerima surat daripada Soon Koh yang melampirkan surat aku janji ditandatangani oleh Chee How.

“Sebelum 15 Ogos 2022, saya tidak pernah menerima sebarang surat aku janji daripada Chee How yang menyatakan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan keahliannya di mana beliau telah dipilih (menjadi ADUN) di bawah parti PSB.

“Surat aku janji yang kononnya ditandatangani oleh See pada 3 Disember 2021 telah disimpan oleh PSB selama lapan bulan 12 hari. Surat itu ditujukan secara khusus dan jelas kepada Speaker.

“Ia sepatutnya dihantar kepada Speaker dalam tempoh 15 hari dari 3 Disember 2021 bagi mematuhi tarikh PRN pada 18 Disember 2021 namun ia dihantar kepada saya pada 15 Ogos 2022,” katanya.

Sehubungan itu Asia berkata, kelayakan See sebagai Adun di bawah Perkara 17 (7) (a) Perlembagaan Negeri Sarawak tidak dapat ditentukan.

 

Suara Sarawak