BERCAKAP… Abdul Rahman bercakap kepada pemberita selepas majlis penangguhan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Kuching 2022 di Mydin Bandar Baru Samariang, dekat sini, hari ini.

KUCHING: Tiada perubahan pada kadar tarif bil elektrik dan air di Sarawak, tegas Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Demikian jelasnya kepada pemberita hari ini bagi menepis dakwaan sesetengah masyarakat yang menyatakan kadar tarif telah dinaikkan, yang membawa kepada peningkatan caj ke atas bil elektrik mereka.

Rahman Junaidi berkata, kadar tersebut masih kekal dan ia sama sejak tempoh lima ke enam tahun yang lalu.

“Kadar tarif elektrik dan air tiada beza, ia masih kekal seperti yang kita laksanakan sejak lima hingga enam tahun yang lalu.

“Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan masyarakat mendapati bil elektrik melonjak tinggi mereka boleh membuat aduan kepada Sesco dan Sarawak Energy Berhad (SEB),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penangguhan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Kuching 2022 di Mydin Bandar Baru Samariang, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, bantuan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak masih kekal diteruskan tahun ini.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti apa yang berlaku pada 2023 nanti kerana masih menunggu maklumat berhubung isu tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk
Dr Sim Kui Hian sebelum ini memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 dalam masa terdekat ini untuk mengurangkan beban rakyat yang menghadapi situasi inflasi.

Katanya, BKSS 9.0 itu juga melibatkan bantuan tanggungan utiliti elektrik dan air.

Suara Sarawak