KUCHING: Adun Batu Lintang See Chee How menegaskan tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini dan lebih memfokuskan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat di kawasan pentadbirannya.

Menurutnya, beliau sedia bekerja dengan mana-mana pihak tidak kira parti politik kerajaan, pembangkang mahupun pihak badan bukan kerajaan (NGO) demi kesejahteraan rakyat.

“Jadi, saya memutuskan untuk bebas daripada menjadi ahli mana-mana parti politik dan menjadi Adun bebas. Saya percaya ia akan membolehkan saya mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan apa jua yang dimahukan.

“ Saya telah memikirkan beberapa rancangan dan inisiatif untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tetapi, saya tidak akan memberitahu anda apakah inisiatif atau rancangan sekarang, biarkan keputusan dan hasil kerja saya dibuktikan kemudian,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pusat khidmatnya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chee How turut menegaskan keputusannya tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan tidak lama lagi kerana tidak pernah terfikir untuk menyertainya.

“Saya juga tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat mahupun menubuhkan parti sendiri.

Mengulas lanjut, See memberitahu keputusan peletakan jawatannya sudah dipertimbangkan beberapa bulan lalu kerana mahu menumpukan kepada rancangannya sendiri dan tiada kaitan dengan kelulusan undang-undang antilompat di Dewan Rakyat pada bulan lepas.

Suara Sarawak