SIBU: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga tangkapan berasingan di sini, semalam.

Kesemua suspek ditahan di Jalan Gambir, Jalan Teng Chin Hua dan Jalan Sungai Bidut oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sibu yang menjalankan Op Kontraban, antara jam 6 hingga 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 42 tahun itu didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

DIHIDU…Van terbabit yang disita kerana membawa diesel haram.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, sebuah lori satu tan dan sebuah lori tangki membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter.

“Ketiga-tiga suspek secara lisan mengaku membawa muatan diesel itu tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

DIKESAN…Lori tangki yang disita ketika didapati membawa minyak diesel secara haram.

 

Suara Sarawak