Unimas gugur beberapa program akademik
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggugurkan beberapa program akademik yang sudah tidak relevan dengan keadaan masa kini.

Justeru, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata bagi menggantikan program itu, UNIMAS memperkenalkan beberapa program baharu yang sesuai perkembangan semasa.

“Terdapat banyak program digugurkan cuma kita tidak mengumumkan (penguguran program) secara formal malah ada juga fakulti baharu yang telah kita wujudkan.

“Misalnya dalam masa lima tahun lepas, kita menubuhkan dua fakulti baharu iaitu Fakulti Komunikasi dan Bahasa yang menawarkan tiga program baharu serta Fakulti Alam Bina yang menawarkan dua program baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ikrar Pelajar (MIP) di Dewan Tuanku Abdul Rahman (DeTAR Putra) di sini, hari ini.

Kadim berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Universiti Malaya (UM) yang menghentikan 20 program akademik selepas kajian mendapati ia tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran kerjaya serta keadaan semasa.

Mengulas lanjut, Dr Kadim berkata proses semakan program-program pengajian yang kurang mendapat sambutan di mana-mana universiti awam merupakan perkara biasa berlaku dalam sesebuah universiti.

Katanya, program yang kurang menerima permohonan dari pelajar dan kurang diperlukan oleh pihak industri atau pasaran akan dibuat semakan dan digantikan dengan program baharu.

“Disebabkan itu, UNIMAS membuat polisi semua program pengajian akan dibuat semakan kokurikulum setiap lima tahun selain kita akan mendapatkan input dari pakar industri atau pakar sesuatu bidang berkenaan.

“Ia supaya mereka dapat memberi input terkini berkaitan program pengajian yang kita tawarkan,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak