Dr Kadim Suaidi (tengah) mengibarkan jalur gemilang dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Unimas, di dataran canselori Unimas, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Dalam menzahirkan erti kemerdekaan dalam landskap pendidikan negara serta bercorakkan Keluarga Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2022, hari ini.

Majlis Pelancaran Hari Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat Unimas itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan disertai Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan
Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Dr Kadim menjelaskan, di peringkat universiti, Unimas tidak ketinggalan untuk menzahirkan erti serta konsep kemerdekaan dalam pelbagai bentuk, jiwa dan rasa.

Katanya, semangat patriotik harus disemai di jiwa dan minda seseorang individu seiring negara yang merdeka, bebas dan berkembang maju.

“Sebagai seorang rakyat dan juga pelajar, kita harus menghayati makna sebenar kemerdekaan dan bukan hanya sekadar retorik yang berkisarkan sejarah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Unimas, di dataran canselori Unimas, hari ini.

Sementara itu, Dr Kadim turut menegaskan bahawa generasi masa kini juga bertanggungjawab untuk mencorak hala tuju negara dalam mengekalkan keharmonian yang telah lama terjalin dalam keluarga yang berbilang kaum di seluruh negara.

Katanya, kemerdekaan yang dikecapi hari ini bermaksud negara bebas daripada cengkaman penjajah dan bermandiri membentuk negara bangsa sendiri.

“Justeru, orang ramai diseru untuk menanamkan semangat cintakan negara dan mengekalkan keharmonian yang terjalin walau negara ini diduduki oleh rakyat yang berbilang bangsa,” katanya.

Suara Sarawak