MENGHISAP vape mungkin memberi kepuasan bagi penghisapnya, tidak keterlaluan mereka berasa nyaman sekali tetapi pakar perubatan menjangkakan kesan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi lebih teruk dalam masa beberapa tahun akan datang.

Boleh dikatakan seperti – ketika menyedut asapnya bagaikan di syurga tetapi akibatnya bak neraka. Apa tidaknya, ada penghisap tegar terpaksa bergantung hidup dengan ubat-ubatan apabila vape meragut kesihatan selepas bertahun-tahun menghisapnya.

Lagipun salah saham berhubung informasi yang salah tentang vape menyebabkan perokok menganggap ia sebagai alternatif kepada tembakau kononnya sebagai usaha untuk meninggalkan tabiat tidak sihat itu. Tidak sebenarnya kerana ia juga pembunuh senyap.

Tabiat merokok didakwa boleh meningkatkan kadar denyutan jantung, menyempitkan arteri utama dan degupan jantung tidak teratur yang boleh meningkatkan tekanan darah, risiko strok dan serangan jantung. Bagaimanapun, vaping juga dikatakan boleh meletakkan situasi bagi mendapat penyakit jantung sama seperti merokok selepas ia didakwa boleh menyebabkan kecederaan paru-paru yang teruk.

Kajian The Johns Hopkins University pada Oktober 2021 mendapati, vape  mengandungi lebih 1,000 bahan kimia antaranya kafein, tiga kimia baharu, racun serangga serta perisa dan pewarna tiruan. Kesan vape akan terus dirasai oleh penghisap, misalnya degupan jantung dan tekanan darah meningkat serta kesan jangka panjang seperti serangan jantung.

Ada pesakit yang mendapat masalah popcorn lung dan evali – penyakit berkaitan paru-paru akibat vape – dalam tempoh kurang setahun. Pasaran meluas vape antara punca ramai golongan muda terjebak dengan alat tersebut.

Setiausaha merangkap jurulatih Persatuan Seni Silat Gerak Bakawali Siti Nadzirah Pani Abdullah berkata, perkara ini perlu diberikan lebih perhatian kerana walaupun terdapat pelbagai undang-undang yang dikeluarkan namun tanpa kawalan ketat ia juga mungkin sukar dikawal.

“Saya secara peribadi berpendapat isu golongan remaja yang terlibat dengan penggunaan vape disebabkan pasaran yang luas. “Lebih membimbangkan, bukan sahaja remaja atau pelajar lelaki yang menghisapnya tetapi terdapat juga pelajar perempuan!” katanya kepada Suara Sarawak, ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, tambah Siti walaupun sebelum ini terdapat kajian yang mengakui bahawa sebanyak 95 peratus kurang memudaratkan berbanding rokok tembakau tetapi tidak bermakna penggunaan alat tersebut tidak mempunyai risiko. “Ini dapat dilihat, apabila terdapat kajian yang menunjukkan vape boleh mendatangkan keburukan kepada pengguna terutama kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu Siti juga memberitahu, penyertaan golongan remaja dalam persatuan seni mempertahankan diri mampu mewujudkan gaya hidup yang sihat. “Disebabkan ini juga saya selalu menasihati remaja di luar sana supaya terlibat dengan aktiviti yang berfaedah termasuk menyertai silat dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya jika mereka mengisi masa lapang dengan mempelajari seni mempertahankan diri, ia dapat mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat,” ujarnya. Justeru, menurutnya, beliau berharap agar terdapat satu pendekatan khas dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah ini. “Jika tindakan tegas tidak diambil ia akan meningkatkan jumlah penggunaan e-rokok dalam kalangan golongan muda pada masa yang akan datang.

“Selain itu, ibu bapa, pengusaha kedai vape juga perlu memberikan kerjasama yang baik untuk mengawal golongan muda khususnya pelajar sekolah terlibat dengan penggunaan vape tersebut,” tegasnya. Untuk rekod, penggunaan vape didapati semakin meningkat dalam kalangan golongan muda terutamanya wanita.

Aktivis Anti Tembakau dan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata, walaupun banyak risiko tentang penggunaan vape diketengahkan, masih ramai yang belum sedar malah semakin meningkat dalam kalangan pelajar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak