KUCHING: Akibat terlibat aktiviti perjudian dalam talian, seorang wanita tempatan berusia 28 tahun dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Nur selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Menurut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan mesi judi menggunakan sebuah telefon bimbit di sebuah kedai runcit mini, Kuching Central Land, sekitar jam 5.50 petang, 22 Julai lalu.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa  mengikut Seksyen 4B (a) ARJT 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah membuat serbuan di sebuah kedai runcit mini selepas mengesyaki terdapat aktiviti judi dalam talian menggunakan aplikasi dalam telefon pintar dan menahan seorang wanita yang berada di kaunter.

Barang-barang kes turut dirampas seperti seunit telefon pintar, wang tunai berjumlah RM49.

Hasil siasatan dan laporan pakar judi mengesahkan telefon pintar yang dirampas milik  tertuduh digunakan sebagai mesin judi, seperti yang dinyatakan di bawah tafsiran Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak