KUCHING: Padah memiliki wang secara tidak sah dalam akaun peribadi berjumlah RM680, seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Ping Moi, 37, dari Jakar, Sarikei mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1), Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki wang secara tidak sah dalam akaun bank Agro berjumlah RM680 di Taman Dahlia Batu 5, Jalan Matang, Padawan, sekitar jam 3.13 petang, 24 Ogos 2021.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda RM500.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu telah membuat transaksi secara dalam talian berjumlah RM680 ke akaun tertuduh bagi tujuan pembayaran pinjaman peribadi kepada sebuah syarikat yang menawarkan pinjaman peribadi secara dalam talian seperti yang diiklankan dalam Google.

Namun demikian, pengadu diarahkan membuat bayaran sekali lagi kerana dia tidak mempunyai penjamin.

Merasa diri ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencagarkan kad ATM dan nombor pin miliknya kepada lelaki bernama Dylan untuk bayaran balik pinjaman wang yang dibuatnya pada awal bulan Ogos 2021 melalui laman sosial facebook.

Oleh itu, akaun bank milik tertuduh telah digunakan untuk aktiviti penipuan dalam kes terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak