Teck Ping, 64, (tengah) ditemui selamat pasukan polis dan orang awam.

MUKAH : Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan di Kampung Kekan Dalat, sejak semalam dijumpai selamat hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, Tang Teck Ping, 64, ditemui pasukan polis dan orang awam di dalam ladang sawit Setian Jaya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital Mukah untuk pemeriksaan kesihatan.

“Setelah mencatat butir maklumat daripada ahli keluarga mangsa, pasukan bomba berangkat balik ke balai dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa dilaporkan keluar ke hutan berhampiran rumah sarang burung Kampung Kekan, Dalat.

Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan tidak kembali rumahnya sehingga hari ini.

“Bimbang dengan keselamatannya, anggota keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan Polis sebelum operasi SAR dilancarkan,” katanya.

Suara Sarawak