Anggota bomba mengangkat mayat warganegara Indonesia yang ditemukan mati lemas di Sungai Jelalong berdekatan SK Kuala Kebulu Jelalong Tubau.

BINTULU: Warga Indonesia yang hilang dalam insiden bot karam di Sungai Jelalong berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK ) Kuala Kebulu Jelalong Tubau, Sabtu lalu ditemukan mati lemas pagi tadi.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Ridwan itu ditemui pada jam 9 pagi oleh penduduk kampung pada jarak lebih kurang dua kilometer di hilir dari tempat kejadian.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata pengecaman dibuat oleh rakan mangsa mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 pagi Sabtu lalu, rakan mangsa yang merupakan pengurus syarikat Millenium Insan Sdn. Bhd melaporkan bahawa bot yang dinaiki mangsa telah karam semasa menyeberang Sungai Jelalong berdekatan SK Kuala Kebulu.

Semasa kejadian, mangsa sepatutnya turun bekerja membuat struktur bangunan di sekolah berkenaan.

Suara Sarawak