Chong Chieng Jen ketika ditemui media selepas menyempurnakan anugerah pelajar cemerlang SPM 2021 di Ibu Pejabat DAP, di sini.

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin harus meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, tindakan Willie melompat parti seolah-olah mengambil kesempatan terhadap Akta Anti Lompat Parti yang belum dikuatkuasakan.

“Walaupun secara undang-undang beliau boleh berbuat sedemikian tetapi saya berpandangan semua orang tahu bahawa secara moralnya adalah salah.

“Sekiranya beliau mempunyai maruah, beliau harus meletak jawatan kerana beliau juga memberi undi untuk Akta Lompat Parti,” katanya ketika mengulas keputusan PBB menerima keahlian Willie di dalam parti itu.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata, wakil rakyat tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap akta yang belum dikuatkuasakan dan melakukan perkara yang dilihat tidak bermoral.

Pada Jun, Willie mengesahkan mengemukakan permohonannya untuk menyertai PBB.

Beliau mendakwa selama ini secara teknikal diletakkan di dalam parti Bersatu bagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Premier Sarawak selaku Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Willie diterima menyertai PBB sebagai ahli tanpa sebarang komitmen.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Genot Sinel yang meraih 14,860 undi serta calon Aspirasi, Buln Ribos yang mendapat 795 undi.

Willie kemudiannya meninggalkan PKR pada Mac 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan Langkah Sheraton.

Beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Suara Sarawak