KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin sah menyertai dan diterima sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini, hari ini.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB hari ini telah menerima permohonan Willie untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.

“Penerimaan beliau adalah tanpa syarat. Beliau diterima sebagai ahli sahaja kerana menyokong PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung permohonan Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk menyertai PBB selaku parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pada Jun lalu, Willie mengesahkan bahawa beliau telah mengemukakan permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan lepas dengan mendakwa selama ini beliau “secara teknikal” diletakkan dalam parti Bersatu bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Willie Mongin (Foto Alif Noni)

Sementara mengenai permohonan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang memohon menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS), Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, perkara itu terpulang kepada parti tersebut.

“Ini saya serahkan kepada PRS untuk membuat keputusan kerana Jugah tidak memohon menyertai PBB, beliau mohon sertai PRS,” jawabnya ringkas.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Jugah yang merupakan ahli parlimen bebas dipelawa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) namun beliau menolaknya kerana sudah mengemukakan permohonan menyertai PRS yang juga komponen parti GPS pada bulan Mac lalu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak