Poster webinar bertajuk “The Art of Pottery; The Evolution of Sarawak Pottery”

KUCHING : Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) akan menganjurkan webinar bertajuk “The Art of Pottery; The Evolution of Sarawak Pottery” pada 20 Ogos ini.

Webinar tersebut akan membincangkan mengenai evolusi tembikar dan ciri-ciri bersamanya yang boleh mengikat manusia bersama sejak sekian lama.

YPS akan menampilkan tiga penceramah untuk membincangkan evolusi tembikar Sarawak yang terdiri daripada perunding pemuliharaan dan arkeologi yang berkhidmat dengan Jabatan Muzium Sarawak Dr Franca Cole, pengasas Ally Enterprise Nabilah Abdullah dan pengasas Gardencraft.co Tuson Chong.

Webinar ini akan dikendalikan oleh pengasas dan pengarah Ranee Artisan Gallery Datin Rosemarie Wong.

YPS dalam satu kenyataan berkata, webinar ini bertujuan menganalisis pelbagai strategi untuk menghidupkan semula tradisi tembikar ikonik Sarawak, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan menilai prospek perniagaan industri tembikar tradisional Sarawak serta cara untuk meneroka strategi pemasaran kontemporari dalam era moden.

“Usaha ini akan memberi penekanan bagaimana ia mempengaruhi interaksi kaum dalam masyarakat Sarawak,” katanya.

Bagi seni tembikar ini yang yang menggunakan tanah liat, sumber semula jadi ini berpotensi untuk diubah menjadi pelbagai produk.

“Kemahiran ketepatan tukang tembikar membentuk segumpal tanah liat basah ke dalam periuk adalah kemahiran kuno yang digunakan oleh nenek moyang kita untuk mencipta peralatan memasak dan periuk upacara.

“Malah pasu kebanyakkan digunakan sebagai barangan hiasan pada masa kini. Tembikar ini mewakili status dan mempunyai kepentingan budaya dalam kumpulan etnik tertentu.

“Periuk-periuk hiasan itu terkenal sebagai cenderahati yang wajib dimiliki oleh pengunjung Sarawak. Identiti dan budaya tersendiri Sarawak, yang menyatukan kita semua, termasuk gabungan ukiran Dayak dan Cina,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi orang ramai yang berminat akan mendapat peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang tembikar Sarawak mereka boleh mendaftar di, http://bit.ly/3Pe1MKF atau hubungi pihak YPS di talian 082 332 700.

Penyertaan dalam webinar adalah percuma dan terbuka kepada orang awam.

Suara Sarawak