KUCHING: Sama ada akan terus bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), terserah kepada keputusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahli Parlimen Batang Sadong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu berkata demikian ketika ditanya wartawan adakah akan terus mempertahankan kerusi Batang Sadong pada PRU-15.

Menurutnya, sekiranya diberi peluang, beliau terbuka untuk terus menggalas tanggungjawab tersebut.

“Sekiranya pemimpin parti melihat saya mampu untuk menjalankan tugas tersebut, akan dilaksanakan. Apa-apa pun, terserah kepada Premier,” katanya ketika ditemu bual wartawan, di sini, hari ini.

Ketika ditanya berkaitan tarikh pilihan raya itu akan diadakan, beliau menjangkakan ia diadakan pada penghujung tahun ini.

Nancy ketika ditemu bual wartawan

Katanya, berhubung masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU-15 ada dibincangkan dengan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, tiada tarikh khusus yang ditetapkan. Kita berbincang berhubung tarikh kebarangkalian ia diadakan.

“Jika ia diadakan tahun ini, perlu berdepan faktor banjir. Sekiranya diadakan pada tahun hadapan, apa situasi yang perlu dihadapi?

“Namun, pendapat peribadi saya kuat menyatakan bahawa ia diadakan penghujung tahun ini,” ujarnya.

Untuk rekod, beliau sudah menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong selama tiga penggal, sejak tahun 2008 sehingga kini.

Suara Sarawak