LAWATAN… Abang Johari (kanan) melawat pameran di Majlis Pemasyhuran Taman Geo Delta Sarawak diiringi Len Talif Salleh (kiri). FOTO: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Sebanyak 28 geotapak di Sarawak telah dikenal pasti mempunyai nilai antarabangsa, kebangsaan dan tempatan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 12 geotapak mempunyai nilai antarabangsa, manakala masing-masing lapan lagi mempunyai nilai tempatan serta kebangsaan.

“Setakat ini, kita sedang membuat kajian lanjut, dalam erti kata lain berusaha untuk menaik taraf serta memulihara kesemua geotapak terbabit bagi memberikan nilai tambah.

“Salah satu biotapak dalam Taman Geo Delta Sarawak adalah Taman Negara Tanah Lembap Kuching yang telah menerima pengiktirafan tapak Ramsar pertama di negeri ini pada 8 November 2005,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pemasyhuran Taman Geo Delta Sarawak bertempat di Kampung Budaya Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, pengiktirafan Taman Geo Delta Sarawak Delta sebagai Taman Geo Kebangsaan adalah satu pencapaian penting kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan.

Ujarnya lagi, kerjasama erat dan sokongan padu semua agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan dan pelaksanaan Delta Sarawak akan dapat memastikan segala rancangan pembangunan dalam kawasan tersebut dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Suara Sarawak