KUCHING: Tarikh keramat 16 September sempena Hari Malaysia wajar dijadikan titik tolak bagi menyemarakkan lagi perpaduan, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sesama rakyat negara berteraskan nilai Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena hari memperingati pembentukan Malaysia hari ini.

“Semoga Keluarga Malaysia terus menjunjung semangat integrasi nasional, kesetiaan kepada raja dan negara serta Malaysia terus dipelihara dalam keamanan dan kemakmuran.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia 2022 kepada seluruh Keluarga Malaysia di mana jua anda berada… Selamat Hari Malaysia Keluarga Malaysia – Teguh Bersama!,” katanya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.

Perdana Menteri dijadualkan menghadiri dan menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka malam ini.

Ia juga merupakan sambutan peringkat kebangsaan julung kali diadakan di Semenanjung.

Suara Sarawak