KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar yang berlaku di Selangor sebelum ini untuk lebih bersiap sedia menghadapi bencana pada bila-bila masa.

Sehubung itu Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, seramai 1,663 pegawai dan anggotanya termasuk pelbagai aset sedia digerakkan bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan dengan lebih efektif.

Selain itu, katanya, semua Ketua Formasi dan Ketua Polis Daerah sudah bersiap sedia untuk dikerah menghadapi Op Banjir-Monsun Timur Laut jika diperlukan.

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

Tambahnya, sejumlah 1,064 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada aset darat, laut, udara dan sokongan turut sedia digerakkan.

“Ia membabitkan 317 aset darat iaitu ambulans, 109 buah kereta pacuan empat roda, 35 buah van, 119 buah motokar, 52 buah lori dan sebuah bas yang disediakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Sementara, jumlah keseluruhan aset laut sebanyak 647 iaitu 67 buah bot, 64 enjin bot, sembilan buah trailer, tiga jet ski dan 504 helai jaket keselamatan disediakan oleh IPD dan IPK Sarawak,” katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Sarawak, di sini hari ini.

Dari aset laut, sungai daerah dan formasi, beliau berkata jumlah keseluruhan membabitkan enam aset iaitu tiga pesawat dan tiga buah dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kontinjen Sarawak.

Mohd Azman memberitahu, jumlah aset sokongan membabitkan 94 buah iaitu 54 buah genset dan 40 buah khemah dari IPD dan IPK Sarawak.

Katanya lagi, terdapat sebanyak 631 Pusat Pemindahan Sementara (PSS) dari 12 Bahagian di negeri ini yang boleh memuatkan seramai 188,360 orang mangsa banjir.

Suara Sarawak