29 petugas barisan hadapan terkorban

KUCHING: Seramai 29 petugas barisan hadapan di Sarawak terkorban dalam menjalankan tugas semasa wabak Covid-15 melanda.

Justeru, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan pengorbanan petugas barisan hadapan amat besar, dengan mempertaruhkan keselamatan diri untuk memastikan orang lain selamat.

“Terdapat banyak kisah peribadi daripada barisan hadapan yang menunjukkan komitmen, dedikasi dan ketabahan mereka di tengah-tengah ketakutan dan ketidakpastian.

“Kerana sumbangan anda, kami dapat memulihkan keadaan normal,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bersama Barisan Hadapan Covid-19 Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Uggah, yang juga Pengerusi JPBN berkata Sarawak bangkit daripada wabak Covid-19 disebabkan oleh dedikasi Abang Johari serta JPBN, sebuah struktur yang mantap dengan pengalaman luas dalam menguruskan krisis.

Beliau berkata Abang Johari telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Sarawak menguruskan kesan Covid-19 dengan membentuk tiga jawatankuasa utama iaitu JPBN, Jawatankuasa Pengagihan Makanan dan Jawatankuasa Keselamatan Sempadan serta memastikan Sarawak diberi bekalan vaksin yang tepat pada masanya dan mencukupi.

“Hasilnya, Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri teratas dalam melaksanakan program vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata setakat 20 September lepas, sebanyak 86 peratus daripada jumlah penduduk iaitu seramai 2,428,289 rakyat Sarawak telah divaksin sepenuhnya dengan dua dos.

“Sarawak juga telah memberikan dos penggalak pertama kepada 90 peratus penduduk yang layak atau 1,652,142 orang manakala seramai 41,551 orang atau 8.3 peratus daripada penduduk yang layak menerima dos penggalak kedua,” tambahnya.

Bagi kes Covid-19, Uggah berkata setakat 20 September lalu, Sarawak merekodkan 314,746 kes positif dengan 1,763 kematian.

Uggah menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari. 

Suara Sarawak