πŠπ”π‚π‡πˆππ†: Seramai 32 individu terdiri daripada pegawai, anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kakitangan Batalion 11 berjaya menawan puncak Gunung Santubong sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Ekspedisi yang dimulakan seawal jam 7 pagi pada 31 Ogos itu menyaksikan pasukan kendalian Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba di puncak.

Seterusnya mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda kejayaan menawan puncak gunung terkenal di Sarawak itu.

Menurutnya, program berjalan dengan lancar menerusi tiga pasukan yang dibentuk bagi memudahkan proses pendakian gunung berketinggian 810 meter dari aras laut tersebut.

“Matlamat program adalah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan selain memupuk setia kawan dalam pasukan.

“Sebagai salah satu organisasi yang memiliki pelbagai peringkat petugas, semangat berpasukan harus diberikan penekanan demi memastikan visi dan misi pasukan mampu dicapai,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ekspedisi menyaksikan kesemua peserta berjaya menamatkan pendakian sehingga ke puncak.

Gunung Santubong antara destinasi pilihan pendaki di Malaysia dan tidak kurang juga menjadi tempat tarikan pengunjung dari luar negara.

Suara Sarawak